Kekal naik, negara rekod 5,522 kes baharu Covid-19


  • Primer
  • Jumaat, 28 Jan 2022

SEBANYAK 5,522 jangkitan baharu Covid-19 dilaporkan pada Jumaat. — Bernama

MALAYSIA merekodkan 5,522 jangkitan baharu Covid-19 pada Jumaat, kekal mencatatkan peningkatan berbanding 5,439 kes pada Khamis.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, itu menjadikan jumlah kumulatif kes dijangkiti wabak itu adalah 2,855,930, setakat 12 tengah hari tadi.

Beliau berkata, 5,483 daripada 5,522 kes baharu itu dikategorikan sebagai Kategori Satu dan Dua manakala 39 kes adalah Kategori Tiga, Empat dan Lima.

"Sebanyak 373 atau 69.4 peratus daripada jumlah kes baharu adalah kes import manakala 5,149 kes atau 96.1 peratus ialah kes tempatan.

"Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 127 kes dan 70 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya dalam kenyataan mengenai situasi semasa jangkitan Covid-19 pada Jumaat.

Trend peningkatan ini bermula pada 24 Januari lepas dengan merekodkan sebanyak 3,214 kes dan terus meningkat kepada 4,066 kes pada hari berikutnya, kemudian 4,744 kes dilaporkan pada 26 Januari lepas.

Mengenai kes sembuh, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 3,285 kes dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif pulih daripada wabak itu adalah 2,773,948 orang.

Beliau juga berkata, 23 kluster baharu dikenal pasti dengan 289 kluster masih aktif setakat ini, sementara kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 dalam negara berada pada paras 1.15 dengan Negeri Sembilan merekodkan nilai Rt tertinggi iaitu 1.21 setakat semalam.

Sementara itu, katanya, 62 kes baharu Covid-19 membabitkan varian yang membimbangkan (VOC) dilaporkan dalam tempoh 25 Januari hingga kini.

"Kesemua kes ini adalah varian Delta. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes dijangkiti virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan varian mempunyai kepentingan (VOI) adalah 7,118 kes.

"Daripada keseluruhan jumlah yang dikesan itu, sebanyak 7,098 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Covid-19, Kes Harian, Menurun, Noor Hisham, Kkm