Farah Ann akui cabaran getir capai kemuncak prestasi


  • Podium
  • Khamis, 27 Jan 2022

PEMENANG pingat emas Sukan Sea 2019 itu pada masa sama memaklumkan beliau kini kembali menjalani latihan sepenuh masa selepas melalui proses pemulihan sejak tahun lepas.

RATU gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi mengakui berdepan cabaran getir dalam mencapai kemuncak prestasinya untuk mengharungi tiga temasya sukan utama pada 2022.

Farah Ann berkata, kesemua temasya itu - Sukan Sea, Sukan Komanwel, Sukan Asia - berlangsung dalam tempoh agak dekat antara satu sama lain.

Sukan Sea di Hanoi, Vietnam akan berlangsung pada 12 hingga 23 Mei, diikuti Sukan Komanwel di Birmingham, United Kingdom pada 28 Julai hingga 8 Ogos serta Sukan Asia di Hangzhou, China pada 10 hingga 25 September.

"Agak sukar untuk capai kemuncak (prestasi) namun saya bersama-sama Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan jurulatih ada perancangan terbaik dalam memastikan saya sihat serta bersedia untuk bersaing dalam ketiga-tiga temasya.

"Namun, saya mahu fokus pada Sukan Sea dahulu dan kemudian diikuti Sukan Komanwel dan Sukan Asia,” katanya pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan atlet dan jurulatih di Kuala Lumpur pada Rabu.

Pemenang pingat emas Sukan Sea 2019 itu pada masa sama memaklumkan, beliau kini kembali menjalani latihan sepenuh masa selepas melalui proses pemulihan sejak tahun lepas.

Atlet kelahiran Selangor itu juga menyambut baik langkah MSN menaikkan kadar elaun pemenang perak dan gangsa Sukan Sea serta Sukan Para Asean yang diyakini mampu melonjakkan semangat atlet untuk menampilkan prestasi terbaik ketika beraksi di Vietnam nanti.

Pada Rabu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan pemenang perak akan menikmati kenaikan elaun daripada RM800 kepada RM1,500, manakala gangsa pula dari RM800 kepada RM1,000 sebulan.

Atlet berusia 27 tahun itu juga bertekad untuk menampilkan aksi mengagumkan pada temasya disertai pada 2022 bagi memastikan dia kekal dalam program latihan kelolaan MSN selepas ini.

MSN kini menetapkan syarat kontrak yang ditawarkan tertumpu kepada persiapan menghadapi temasya sukan tertentu, dengan bentuk elaun latihan kembali berpaksikan kepada pencapaian seseorang atlet dalam temasya disertai. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram