Keluarga kedua Syafiq Kyle


  • Hiburan
  • Rabu, 26 Jan 2022

SHAFIQ menubuhkan kelab bolasepak miliknya yang diberi nama Challo FC. — The Star

PELAKON versatil, Syafiq Kyle tidak menjadikan kesibukan kerja sebagai alasan untuk tidak meluangkan masa melakukan aktiviti sukan dan riadah bersama teman-teman rapat.

Katanya, dia menitikberatkan soal penjagaan fizikal dan mental bagi memastikan dirinya kekal sihat setiap hari.

“Kalau ada masa lapang saya memang akan berkumpul bersama teman-teman rapat, kebiasaannya kami bermain bola sepak dan buat aktiviti riadah.

“Kami ada tubuhkan Challo FC, yang mana ada 30 ahli dalam kalangan rakan-rakan, kita selalulah buat aktiviti bersama, boleh dikatakan setiap minggu kita buat friendly match.

“Kalau saya tak sibuk, saya pasti akan sertai aktiviti yang dianjurkan. Selain dapat jumpa kawan-kawan, permainan ini juga boleh beri stamina dan bagus untuk kesihatan untuk kita,” katanya.

Menerusi laporan media pada tahun 2018, Syafiq Kyle atau nama sebenar Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak, 29, membelanjakan puluhan ribu untuk menubuhkan kelab bola sepak miliknya yang diberi nama Challo FC.

Menurut pelakon filem Langsuir itu, dia menubuhkan kelab itu selepas hasrat menjadi pemain bola profesional tidak kesampaian.

Dalam pada itu, Shafiq memberitahu penubuhan Challo FC berjaya merapatkan hubungan mereka melalui aktiviti sihat.

Bagaimanapun, Syafiq mengakui pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu sedikit sebanyak membantutkan perancangan kelab ini untuk bergiat lebih aktif.

“Sebenarnya dah hampir empat tahun Challo FC ditubuhkan... kelab ini diketuai oleh Aedy Ashraf. Bukan sahaja pelakon, Challo FC juga turut dianggotai oleh penyanyi, model, influencer, YouTuber dan ahli perniagaan.

“Saya berharap supaya lepas ini kami boleh main bola dan buat aktiviti dengan lebih aktif lagi.

“Kita doakan la pandemik ini cepat-cepat berakhir... setiap kali main bola dengan team Challo, walaupun hanya friendly match perasaan seronok tu lain macam.

“Kalah menang belakang cerita. Yang penting sama-sama enjoy dan sesi melepak lepas main bola tu dah jadi satu perkara yang buatkan negara kita unik, sebab itu saya anggap Challo FC keluarga kedua saya,” ujarnya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram