MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memberi bayangan kemelut antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Lee Zii Jia, mampu diselesaikan dalam masa terdekat.
Ahmad Faizal yang mengadakan pertemuan dengan pemain perseorangan lelaki nombor tujuh dunia itu dan bekas juara remaja dunia, Goh Jin Wei pada Isnin berkata, semua pihak komited untuk meletakkan kepentingan negara sebagai aspek paling utama, dalam menyelesaikan kemelut tersebut.
"Saya juga bercakap dengan Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, memang kedua-dua pihak komited untuk meletakkan kepentingan negara sebagai perkara paling utama,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perundingan Belia Negara di Bangi, Selangor pada Selasa.
Mengulas mengenai pertemuan dengan Zii Jia dan Jin Wei yang diadakan secara tertutup pada Isnin, Ahmad Faizal berkata, kedua-dua pemain itu menyatakan dua alasan berbeza untuk keluar daripada BAM.
"Saya dengar dan percaya BAM juga akan mendengar apa sahaja yang mereka bawa, jadi kita doakan yang baik-baik. Perkara lain yang kita bincangkan, amat tidak manis untuk saya kongsikan kepada orang ramai, kerana jika ada pun lebih sebagai nasihat saya, umpama nasihat seorang abang kepada adik.
"Jadi saya harap perkara itu dihormati. Apa jua masalah dapat diselesaikan dan ada solusi terbaik jika kepentingan peribadi, kumpulan, dapat dikorbankan demi kepentingan negara.
"Itu yang saya sampaikan kepada mereka berdua, dan saya nampak mereka faham perkara itu. Saya juga mendoakan agar perjumpaan Zii Jia dengan kepimpinan BAM hari ini, akan mencapai solusi terbaik,” jelasnya.
Jumaat lalu, Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos mengumumkan BAM tidak akan mendaftarkan Zii Jia untuk mana-mana kejohanan antarabangsa bagi tempoh dua tahun bermula 18 Januari ini.
Ia berikutan keputusan juara All England itu yang menghantar surat untuk keluar daripada BAM pada 11 Januari lalu, agar beliau dapat bergerak sebagai pemain profesional, dengan alasan tidak dapat menahan tekanan dan gaya hidup yang ditetapkan di BAM.
Jin Wei yang mengumumkan persaraan pada September lalu, sebelum mula bergerak sebagai pemain profesional, turut dikenakan tindakan oleh BAM untuk tidak akan didaftarkan untuk kejohanan selama dua tahun bermula 31 Oktober 2021. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram