DARIPADA seorang wira kepada pemain badminton yang tersakiti, pemain perseorangan lelaki Malaysia, Lee Zii Jia sedang melalui satu daripada masa paling sukar dalam kerjayanya.
Apa yang diinginkan pemain berusia 23 tahun itu ialah sedikit ruang bagi memikirkan langkah seterusnya sebelum membuat keputusan besar demi masa depannya untuk terus bermain badminton.
“Saya sangat kecewa dan ini adalah masa yang sukar untuk saya.
“Saya tahu ramai yang menyokong saya dan saya bersyukur tetapi saya perlukan sedikit masa untuk menenangkan fikiran.
“Saya memerlukan sedikit ruang untuk memutuskan apa yang perlu dilakukan seterusnya... fikirkan rancangan saya.
“Saya harap anda faham... dan apabila saya sudah bersedia, saya pasti akan memberitahu semua orang tentang langkah saya seterusnya,” kata pemain nombor 7 dunia itu.
Impian Zii Jia untuk beraksi di Sukan Olimpik keduanya di Paris pada 2024 ternyata meleset apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menghukumnya dengan hukuman berat iaitu menghalangnya daripada bertanding di kejohanan antarabangsa selama dua tahun.
Hukuman itu susulan keputusannya untuk berhenti dari pasukan kebangsaan dan memulakan semula kariernya sebagai pemain profesional yang bebas.
Terdapat desakan untuk kedua-dua pihak menimbang semula keputusan mereka dan mengutamakan kepentingan negara tetapi berkemungkinan Zii Jia akan meneruskan usahanya untuk berjaya sebagai pemain bebas.
Dia sudah mempunyai penaja global yang menunggu untuk mengambilnya bermain untuk mereka dan terdapat beberapa pilihan untuk Zii Jia di luar BAM.
Selain itu, Zii Jia juga boleh menukar pusat latihannya keluar dari Malaysia dan tinggal di sana sekurang-kurangnya setahun.
Dalam pada itu, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) membenarkan bagi pemain yang tinggal di negara lain selama setahun untuk memasukkan nama mereka bagi pertandingan melalui persatuan negara itu.
Jika Zii Jia mahukan penyelesaian segera, pemain berasal dari Kedah itu mungkin membawa BAM ke mahkamah untuk mempertikaikan keputusan persatuan itu. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram