FAM perlu 'nafas baharu' - Penyokong


  • Podium
  • Khamis, 20 Jan 2022

KEKECEWAAN peminat bola sepak tanah air dengan kegagalan pasukan Harimau Malaya dalam Kejuaraan Piala AFF 2020, Disember lalu masih dirasai sehingga ke hari ini. — Facebook/FAM

KEKECEWAAN peminat bola sepak tanah air dengan kegagalan pasukan Harimau Malaya dalam Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) 2020, Disember lalu masih dirasai sehingga ke hari ini.

Pelbagai pihak saling menuding jari terutamanya dalam kalangan peminat mengenai siapakah yang patut disalahkan sama ada jurulatih, pemain atau Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu sendiri?

Tinjauan Majoriti di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur mendapati rata-rata peminat pasukan bola sepak tanah air mendakwa, FAM sebenarnya yang menjadi 'duri dalam daging' skuad Harimau Malaya.

Seorang penyokong, Khairul Azman yang berasal daripada Kedah berpendapat, jurulatih sebenarnya tidak harus dipersalahkan tetapi pihak atasan yang mempunyai kelemahan dalam menguruskan pasukan kebangsaan.

"Pengurusan atasan kena lebih menilai di mana kesilapan ataupun pucuk pimpinan untuk memajukan bola sepak Malaysia.

"Jika boleh diberi skala mengenai kualiti pasukan bola sepak Malaysia, saya akan bagi lima daripada 10. Pihak pengurusan memang kena ubah, bagi saya jurulatih memang tiada komen. Jika bagi jurulatih dari Jepun sekalipun, kalau kita tidak ubah pasukan, kita takkan mana pun," katanya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, seorang lagi penyokong yang hanya mahu dikenali sebagai Syafiq yang berasal dari Sungai Buloh pula berkata, masalah dari segi pengurusan pasukan kebangsaan ialah jawatan dalam FAM itu dipegang oleh orang yang sama terlalu lama dan baginya, pembaharuan perlu berlaku jika inginkan pengurusan yang lebih baik.

"Bagi jawatan kepada yang betul-betul minat untuk uruskan FAM. Contohnya macam bekas pemain kebangsaan jawat jawatan dalam FAM. Dari segi pengurusan bola sepak, boleh bagi tiga daripada 10 sahaja," katanya.

Bagi Izzudin Ismail pula, dia berharap FAM merayu perubahan yang lebih baik dari segi pengurusan pasukan bola sepak kebangsaan dan dia turut berharap orang-orang yang telah lama memegang jawatan di FAM untuk bersara agar dapat beri peluang kepada muka baharu.

"Ahli politik tidak patut masuk campur dalam pengurusan bola sepak. Boleh hal politik tapi biar mereka yang minat bola, jadi kita boleh pergi jauh," katanya.

Dalam pada itu, Adi, 23, turut senada dengan Izzudin yang mana isu politik tidak wajar masuk campur dalam urusan bola sepak Malaysia seperti masuk campur dalam keputusan jurulatih.

"Isu politik jangan dicampur dalam isu bola sepak seperi orang atasan jangan masuk campur dengan orang bawah seperti masuk campur dengan keputusan jurulatih. Bagi saya apa yang jurulatih cakap, dengan cakap jurulatih itu tapi jurulatih kena dengar hati jangan dengar atasan," katanya.

Selain itu, Shahri dari Shah Alam berpandangan bola sepak negara agak merudum jika dibandingakan dengan zaman kegemilangan sewaktu tahun 1994 hingga 1995.

"Semasa tahun 1994 hingga 1995 saya memang minat tengok. Lawan Korea kita menang, sekarang nak lawan Kemboja pun kita boleh kalah. Bagi saya kalau boleh FAM ini pergi ke kawasan-kawasan pedalaman, cuba tengok player di sana yang boleh digilap," katanya

Shahri juga berharap agar ada seseorang yang berkaliber untuk menguruskan FAM supaya pasukan Malaysia boleh ke kejohanan besar seperti Piala Asia dan Piala Dunia suatu hari nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram