PRESTASI Harimau Malaya di peringkat antarabangsa yang terumbang-ambing bukan satu benda baharu bagi para peminat bola sepak tempatan.
Aspek pengurusan dan pembangunan bola sepak tempatan yang lemah terus dipertikai oleh peminat sehingga menyumbang kepada kemunduran sukan tersebut.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terus menjadi mangsa kecaman para peminat yang mahukan badan bola sepak utama negara itu berbuat sesuatu daripada terus ketinggalan berbanding negara jiran serantau seperti Thailand, Vietnam dan Indonesia.
Pada Isnin, FAM sekali lagi dikecam selepas mengadakan majlis pecah tanah pembinaan ibu pejabat baharunya di Presint 5, Putrajaya.
Pada majlis itu juga, kerajaan mengumumkan peruntukan RM10 juta kepada FAM bagi membangunkan bola sepak negara.
Rata-rata warganet nyata berang dengan tindakan FAM yang lebih mementingkan pembinaan ibu pejabat baharu berbanding fokus kepada pembangunan akar umbi.
Warganet juga menyatakan tidak guna bina fasiliti baharu tetapi prestasi Harimau Malaya masih tidak memberangsangkan.
ANTARA komen warganet lain di media sosial. — Facebook
"Buang duit. Naik taraf saja bangunan di Kelana Jaya, Selangor. Bukan pejabat baharu boleh meningkatkan mutu bola sepak negara.
"Cakap akar umbi penting, rasanya pegawai sukan dan pejabatnya lagi penting," kata seorang pengguna Facebook, Gary Mark Nagan.
"Ada pula duit? Nak panggil 30 pemain tiada duit? Kalau alasan pemain cedera, tidak dilepaskan, ada lagi pemain lain.
"Liga Super dan Liga Premier bukan seorang dua sahaja yang bermain," ujar seorang lagi pengguna Facebook, Badrul Zaman Lepeh. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram