JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang mendedahkan beberapa kali menolak peluang berlumba di Eropah dan Jepun yang menawarkan keuntungan besar serta kemasyhuran demi komitmennya terhadap negara tercinta.
Menurut Mohd Azizulhasni, memilih segala tawaran yang datang kepadanya itu sudah pasti memberikan banyak kelebihan kepada diri sendiri serta perjalanan kariernya.
Namun, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu berkata, semua perkara berkenaan akan mengganggu perancangan dan persiapan menghadapi kejohanan utama termasuk temasya sukan yang menjadi keutamaan buat pasukan negara.
"Saya sedia maklum yang Malaysia membuat banyak pelaburan untuk memastikan saya berada di mana saya berada pada hari ini.
"Oleh itu, saya sentiasa pastikan setiap wang yang dilaburkan akan saya cuba untuk balas balik baik dari segi pencapaian, pengorbanan mahupun memberi kembali kepada masyarakat dan juga negara tercinta,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Mengulas berhubung beberapa tawaran ditolaknya secara baik, Mohd Azizulhasni berkata, beliau ditawarkan menyertai pasukan berbasikal lebuh raya terkenal, Drapac Professional Cycling di awal penghijrahannya ke Melbourne, Australia.
Selain itu, beliau yang diberi julukan 'The Pocket Rocketman' mendedahkan beberapa kali 'dirisik' oleh Japanese Keirin Association (JKA) untuk berlumba di Jepun, malah turut dijemput dengan penuh tradisi.
"Saya diberikan surat jemputan dalam format tradisional Jepun yang siap dengan cap mohor, mengagumkan. Menjadi cita-cita setiap pelumba keirin untuk dipilih dan berlumba di sana, peluang untuk mengaut wang kemenangan yang besar juga adalah antara yang ditawarkan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd Azizulhasni berkata, beliau turut mendapat banyak tawaran berlumba di perlumbaan jemputan di Eropah seperti Siri Enam Hari yang terkenal di benua berkenaan serta mendapat liputan meluas di peringkat antarabangsa.
Jelasnya, semua tawaran dan peluang itu ditolak kerana mengutamakan tanggungjawab kepada pasukan negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram