TERENGGANU FC (TFC) secara rasmi mengikat penyerang Liberia, Kpah Sherman bagi menghadapi saingan Liga Super musim depan.
Sherman yang sebelum ini beraksi bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC dilaporkan bakal menyarung jersi nombor sembilan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TFC Sdn Bhd Ab Rasid Jusoh berkata, beliau amat berbesar hati kerana pemain tersebut memilih untuk berhijrah ke Terengganu biarpun berpeluang beraksi di pentas Asia bersama bekas pasukannya, Kedah Darul Aman FC (Kedah) musim hadapan.
Tambahnya, Sherman yang juga penyerang kebangsaan Liberia menandatangani kontrak selama setahun dengan TFC dan kehadirannya diyakini akan membantu pasukan meraih kejuaraan bagi musim 2022.
"Antara faktor utama beliau memilih berhijrah ke Terengganu disebabkan yakin dengan potensi skuad Penyu untuk meraih kejuaraan akan datang. Selain itu corak permainan TFC juga dilihat sangat sesuai dengan gaya permainan beliau.
"Jadi kita harap kehadiran Sherman yang meledak 13 gol dalam Liga Super musim ini, akan melengkapkan 'puzzle' kejuaraan TFC yang belum menjadi realiti,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sementara itu, TFC mengucapkan selamat tinggal kepada empat pemain importnya iaitu David Da Silva, Carli De Murga, Dechi Marcel dan Makan Konate untuk saingan musim depan.
"Tetapi dua pemain import iaitu Jordan Mintah dan Argzim Redzovic akan dinaikkan pangkat dari skuad adik, Terengganu FC ll (TFC ll) ke skuad abang, TFC.
"Kami meletakkan sepenuh kepercayaan agar mereka dapat memperagakan aksi terbaik dan konsisten musim depan, dalam misi memperbaiki kedudukan Liga Super dan Liga Perdana selain melayakkan diri ke pentas Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) musim 2023,” kata Ketua Pegawai Operasi (COO) TFC Sdn Bhd Mohd Sabri Abas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram