Bekas bintang Ligue 1 tunggu masa sarung jersi kelab elit Pantai Timur


  • Podium
  • Isnin, 10 Jan 2022

PEMAIN berusia 31 tahun itu mempunyai pengalaman beraksi di beberapa liga di Eropah antaranya di Ligue 1 bersama Guingamp dan Troyes sebelum menyarung jersi kelab Greece, Levadiakos pada 2021.  — Agensi

PASUKAN Sri Pahang FC semakin hampir menamatkan pencarian penjaga golnya apabila disebut-sebut akan mengikat kontrak bersama penjaga gol berdarah Perancis dari Mali, Mamadou Samassa.

Kelab itu dikatakan sedang berunding dengan pemain itu bagi memperkuatkan lagi saingan Liga Malaysia musim 2022.

Jika Samassa sah menandatangani kontrak bersama Sri Pahang, pasukan Tok Gajah menjadi kelab kedua yang menggunakan penjaga gol import selepas Kuala Lumpur City FC.

Spekulasi itu dikongsi oleh pemerhati sukan, T. Avineshwaran menerusi ciapan Twitternya pada Isnin.

CIAPAN Twitter T. Avineshwaran

Pemain berusia 31 tahun itu mempunyai pengalaman beraksi di beberapa liga di Eropah antaranya di Ligue 1 bersama Guingamp dan Troyes sebelum menyarung jersi kelab Greece, Levadiakos pada 2021.

Samassa pernah beraksi bersama skuad remaja Perancis sebelum memutuskan untuk mewakili Mali di peringkat antarabangsa sebelum membantu negara itu menduduki tempat ketiga dalam temasya Piala Negara-Negara Afrika pada edisi 2013.

Bagi menghadapi musim 2022, skuad Tok Gajah telah membawa masuk beberapa pemain seperti Johan Martial, David Rowley, Sean Gan Gianelli, Fandi Othman, Azwan Aripin, Faizal Arif dan Wan Amirzafran Wan Nadris.

Untuk rekod, pada musim lalu, Sri Pahang menamatkan saingan Liga Super di tangga ke-10 selepas gagal untuk melepasi saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram