'Tepat tapi bukan gerenti kejayaan Harimau Malaya'


  • Podium
  • Selasa, 11 Jan 2022

O'DONELL dilihat sebagai individu tepat untuk membawa kejayaan kepada Harimau Malaya. — Bernama

PELANTIKAN Scott O’Donell sebagai Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baharu menggantikan Datuk Ong Kim Swee, bukan jaminan ia dapat membawa kejayaan kepada sukan bola sepak negara seperti yang diharapkan.

Jelas penganalisis sukan, Dr Pekan Ramli, melihat dalam konteks pencapaian O’Donell sebagai jurulatih, kejayaannya tidak menonjol sama ada sebagai jurulatih sesebuah negara serta kelab.

"Bersandarkan kepada profil sebagai pemain dan jurulatih yang memiliki kitaran pengalaman di rantau Asia Tenggara, memang tidak dinafikan O’Donell adalah pilihan tepat bagi FAM.

"Cuma dalam konteks untuk memberikan tumpuan kepada penstrukturan semula pembangunan bola sepak negara, kita memerlukan beliau menilai kembali peta hala tuju F:30.

"Dua orang Pengarah Teknikal sudah angkat kaki, jadi adakah falsafah itu masih relevan atau perjalanannya masih lancar atau sedikit terencat?" katanya kepada Majoriti.

Screenshot 2022-01-10 105303

ALEXANDER Polking (kanan) merupakan antara jurulatih asing yang membimbing skuad bola sepak di Asia Tenggara. — AP

O'Donell dilantik menjadi Pengarah Teknikal FAM berkuatkuasa 5 Januari lalu dengan kontrak selama tiga tahun.

Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai Pengarah Teknikal Capital Football, iaitu badan induk bola sepak wanita di ibu negara Australia, Canberra, sejak 2017 namun melepaskan jawatan itu pada November lalu.

Bekas pemain pertahanan itu juga pernah beraksi bersama Kuala Lumpur pada 1994-1995, selain bermain di Liga Singapura bersama Tampines Rovers (1996-97, 1999-2000) dan Marine Castle United (1998-99).

Selain menjadi jurulatih Geylang United (2003-2005) di Singapura, beliau juga mempunyai pengalaman sebagai Ketua Jurulatih skuad kebangsaan Kemboja sebanyak dua kali, iaitu bermula 2005-2007 dan 2009-2010, sebelum menjadi Pengarah Teknikal ‘All India Football Federation’ (AIFF) bermula 2015-2017.

Menurut Pekan lagi, kejayaan sesebuah pasukan kebangsaan itu sangat penting sebagai 'safe box' kepada seseorang Pengarah Teknikal.

"Jika sesebuah pasukan itu sering kecundang, pasti masa depan seseorang Pengarah Teknikal juga terancam," ujarnya.

Ketika diminta mengulas berhubung cadangan O'Donell mahu melantik jurulatih asing sebagai Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Pekan berkata, O'Donell tidak berani memperjudikan nasibnya terutamanya menjelang aksi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2021 pada Jun kelak.

"Saya memahami mengapa O'Donell mahukan jurulatih asing dilantik sebagai Ketua Jurulatih Harimau Malaya.

"Sebagai orang yang begitu dekat dengan perkembangan bola sepak di rantau ini, beliau mungkin tidak tertarik dan kurang keyakinan dengan jurulatih tempatan yang ada," menurutnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram