Reputasi masih berbisa, Gary Steven Robbat dalam radar tiga kelab elit


  • Podium
  • Ahad, 02 Jan 2022

GARY pasti menjadi buruan ekoran reputasinya yang cemerlang mewakili skuad kebangsaan sebelum ini. — Facebook

PEMAIN pinjaman Melaka United, Gary Steven Robbat kini dilaporkan berada dalam radar beberapa kelab elit selepas sah tidak lagi bersama skuad Hang Tuah itu bagi saingan Liga-Malaysia (Liga-M) musim 2022.

Masa depan Gary kini menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat sama ada akan kembali ke pangkuan JDT II atau nekad berhijrah ke pasukan lain sama ada secara pinjaman ataupun kekal musim depan.

Pemain berusia 29 tahun itu sebelum ini dipinjamkan ke Melaka United daripada JDT II pada pertengahan musim lalu bagi menghadapi baki 11 perlawanan Liga Super.

Terdahulu, Melaka United secara rasmi telah mengumumkan pemain yang berasal dari Kedah itu antara 11 pemain yang tidak dikekalkan termasuk Manuel Ott yang hampir melengkapkan perpindahannya ke Terengganu FC. Juga tidak tersenarai dalam skuad Sang Kancil musim depan ialah Khairul Helmi Johari.

Ketika bersama Melaka United dalam mengharungi baki saingan Liga-M musim lalu, Gary begitupun tidak dapat beraksi berikutan mengalami kecederaan buku lali.

Dia terpaksa berehat selama tiga hingga empat bulan untuk pulih sepenuhnya.

Begitupun, beliau pasti jadi buruan ekoran reputasinya yang cemerlang mewakili skuad kebangsaan sebelum ini.

Jika membuat keputusan untuk meninggalkan JDT II, antara yang kelab yang dikhabarkan memantau rapat perkembangan Gary termasuklah Kedah, Pahang dan Perlis.

Gary juga disebut-sebut bakal dipinjamkan ke Sabah FC apabila sering mendapat kepercayaan Datuk Ong Kim Swee semasa mewakili Harimau Muda, namun spekulasi itu belum cukup kuat gara-gara The Rhinos dilihat sudah memiliki pasukan rapi musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram