Tewaskan Burnley, Rangnick terpesona dengan empat bintang Man United


  • Podium
  • Jumaat, 31 Dis 2021

RANGNICK menggantikan Ole Gunnar Solskjaer buat sementara pada Disember dengan perjanjian sehingga akhir musim.

PENGENDALI interim Manchester United, Ralf Rangnick terpukau dengan prestasi yang dipamerkan empat tonggaknya semasa menewaskan Burnley 3-1 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford awal pagi Jumaat.

Keempat-empat pemain yang menyinar dalam pertemuan itu adalah Mason Greenwood, Cristiano Ronaldo, Edinson Cavani dan Scott McTominay.

“Tidak masuk akal untuk bercakap mengenai pemain individu. Prestasi keseluruhan pasukan adalah lebih baik,” kata Rangnick kepada Amazon Prime.

“Saya juga gembira dengan persembahan pemain sayap kami. Jadon Sancho melakukannya dengan baik, terutamanya selepas dia menjaringkan gol. Dengan jaringan itu, semua boleh tahu dapat bantu meningkatkan tahap keyakinannya.

“Begitu juga dengan Mason Greenwood. Etika kerjanya sangat mengagumkan.

“Saya gembira untuk Cristiano dan untuk Edi (Edinson Cavani). Mereka melakukan tugas mereka mengendali bola dengan baik. Seperti yang saya katakan, secara keseluruhan, ia adalah persembahan yang baik.” katanya.

Jurulatih berusia 63 tahun itu juga gembira kerana dia dapat menurunkan McTominay, walau pemain tengah itu diragui menjelang perlawanan itu.

"Ya, saya sangat gembira dia (McTominay) boleh bermain.

"Baru petang tadi kami memutuskan dia boleh bermain kerana kecederaan buku lali yang dialaminya ketika menentang Newcastle. Sangat bagus untuk mempunyai dia dalam pasukan semula," kata pengurus Jerman itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram