Pogba beri mesej misteri berhubung masa depannya


  • Podium
  • Sabtu, 01 Jan 2022

KONTRAK Pogba bersama Man United tamat pada Jun 2022. — AFP

SETIBANYA jendela perpindahan musim sejuk yang bermula Sabtu, masa depan pemain Manchester United, Paul Pogba terus menjadi tanda tanya.

Sehingga kini, Pogba masih belum menandatangani sebarang kontrak lanjutan bersama pasukan itu meskipun sudah ditawarkan kontrak baharu.

Pada Jumaat, Pogba seakan-akan memberi bayangan tentang masa depannya selepas memuat naik ciapan di Twitter rasminya.

"Tahun yang penuh suka duka, momen baik dan buruk tetapi satu sahaja yang masih kekal, sokongan penuh dan tulus anda.

"Masa untuk pandang ke 2022," katanya yang mengundang persoalan tentang masa depannya bersama United.

Kontrak Pogba bersama Man United tamat pada Jun 2022 dan dia dibenarkan untuk berurusan dengan mana-mana kelab pada jendela perpindahan kali ini.

Tambah merumitkan keadaan, Man United berkemungkinan besar terpaksa melepaskannya secara percuma pada jendela perpindahan musim panas kelak.

Pengurus sementara, Ralf Rangnick sebelum ini memaklumkan beliau 'membenarkan' mana-mana pemain yang ingin keluar dari kelab itu.

Ujar Rangnick, beliau enggan menghalang pemain yang sudah tiada keinginan bermain untuk kelab tersebut.

Pogba memulakan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan bergaya apabila merekodkan empat bantuan hantaran menentang Leeds United namun gagal menyerlah selepas itu sebelum cedera sewaktu mewakili Perancis pada aksi antarabangsa.

Sejak mengalami kecederaan berkenaan, Pogba belum lagi tampil dalam sebarang perlawanan malahan dia tidak menyertai latihan pasukan itu sehingga kini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Paul Pogba, Man United, EPL, kontrak