Kelab tempatan gagal lahir pemain terbaik berbanding buru import 'kitar semula'


  • Podium
  • Isnin, 03 Jan 2022

IFEDAYO Olusegun antara pemain import yang menyerlah di Liga Super sejak beberapa musim lalu. — Facebook

ISU kuota pemain import dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) terus hangat diperkatakan sejak kegagalan skuad bola sepak kebangsaan di Piala Suzuki AFF 2020 baru-baru ini.

Ramai memberi pandangan bahawa kemasukan pemain import dalam saingan Liga-M merencatkan bakat atau potensi pemain tempatan untuk lebih menyerlah, sekali gus memberi kesan kepada tahap persembahan pemain Malaysia di peringkat antarabangsa.

Pada masa sama, majoriti kelab tempatan juga dilihat cenderung untuk 'mengitar semula' pemain import sedia ada yang sekadar 'nomad' dari satu kelab tempatan ke satu kelab tempatan lain atas pelbagai faktor termasuk sudah biasa dengan corak permainan Liga-M serta harga pasaran yang tidak menjejaskan kantung kelab.

Bagi penganalisis sukan, Dr Pekan Ramli, isu sebenar yang berlaku bukanlah disebabkan oleh pemain import atau kuota import tetapi kegagalan pasukan tempatan untuk melahirkan pemain tempatan terbaik.

"Lagipun pemain import yang datang ke sini bukanlah pemain berkelas A tetapi ramai berkelas C dan ada yang hampir 'tarikh luput' tetapi masih gagal ditandingi pemain tempatan.

"Jadi silap siapa dan tanggungjawab siapa dalam isu kegagalan ini," katanya kepada Majoriti.

Tambah Pekan, bukan sahaja Malaysia mengalami situasi sama tetapi kebanyakan liga profesional termasuk Liga Perdana Inggeris (EPL) turut berdepan masalah serupa.

"Pasukan tempatannya hebat tetapi pasukan negaranya lemah disebabkan oleh kebanjiran pemain import yang memenuhi kelab-kelab ternama," ujarnya.

Jelas beliau lagi, sukar untuk menyekat kehadiran pemain import ke Malaysia ketika ini kerana ada pasukan tempatan yang beraksi dalam kejohanan AFC.

"Kita ada juara lapan kali Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) yang layak beraksi dalam Liga Juara-Juara Asia (AFC).

"Sudah pasti JDT atau pemiliknya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim amat memerlukan pemain import yang baik untuk beraksi dalam kejohanan yang sangat kompetitif dan bertaraf tinggi itu.

"Tak akan nak guna pemain import untuk beraksi dalam Liga Juara-Juara AFC sedangkan aksi pemain import tidak dibenarkan atau dikurangkan lagi dalam Liga-M.

"Begitu juga dengan dua pasukan lain yang akan beraksi pada Piala AFC yang turut memerlukan kehadiran pemain import untuk memperkukuhkan pasukan," menurutnya.

PASUKAN JDT memerlukan pemain import untuk beraksi di kejohanan kompetitif seperti Liga Juara-Juara AFC. — Facebook

Sebelum ini, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin memberi bayangan bahawa kuota pemain import akan dikurangkan pada masa akan datang.

Hamidin berkata, cadangan itu akan dipertimbangkan selepas pasukan Liga-M berdepan dengan masalah kewangan dan gagal menyelesaikan tunggakan gaji.

Ujar beliau lagi, pelbagai persoalan lain juga perlu dilihat secara holistik sebelum membuat keputusan seperti dari segi aspek tarikan penonton ke stadium, penajaan, barangan cenderamata.

"Persoalan utama, menarikkah liga bola sepak Malaysia tanpa bintang-bintang import ini?"

"Kalau tak dibenarkan pemain import, Liga-M yang dikatakan liga profesional dilihat mengundur ke belakang," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Pekan Ramli, JDT, import, Tunku Ismail, Liga Super, EPL