Tanpa trio utama berdepan Burnley, Rangnick 'sakit kepala' lagak bintang Man United


  • Podium
  • Khamis, 30 Dis 2021

RANGNICK dilaporkan pening kepala dengan masalah sikap segelintir bintang Man United. — Agensi

SEKURANG-KURANGNYA tiga tonggak utama terpaksa diketepikan pengendali interim Man United, Ralf Rangnick menjelang pertemuan menentang Burnley dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford awal pagi Jumaat.

Trio terbabit — Victor Lindelof, Paul Pogba dan Bruno Fernandes — tidak dapat beraksi sekali gus memaksa Rangnick memikirkan alternatif pemain tatkala jadual EPL yang cukup padat menjelang Januari.

Lindelof sah positif Covid-19 sementara Pogba masih mengalami kecederaan pangkal paha.

Fernandes pula digantung satu perlawanan selepas mengutip kad kuning kelima musim ini ketika sekadar seri 1-1 dengan Newcastle United pada Selasa.

Kehilangan tiga pemain terbabit pastinya lebih memeningkan kepala Rangnick yang sedia kusut dengan lagak beberapa bintang Man United sejak mengambil alih tugas Ole Gunner Solskjaer.

Kem The Red Devils kini dilaporkan dilanda krisis dalaman apabila kapten, Harry Maguire dilaporkan tidak 'sebulu' dengan Cristiano Ronaldo.

Maguire dikatakan kecewa apabila Ronaldo enggan menghormatinya sebagai kapten.

Pada masa sama, Ronaldo juga dikatakan tidak dapat membentuk persefahaman yang baik dengan pemain muda lain terutamanya Mason Greenword.

Tidak cukup dengan itu, sikap acuh tak acuh Ronaldo dan Fernandes terhadap pemain-pemain muda Man United juga mengundang kritikan legenda kelab, Gary Neville.

"Ada sesuatu yang tidak kena di bilik persalinan Man United ketika ini.

"Pasti ada sesuatu yang berlaku. Semangat bilik persalinan adalah sangat penting dan saya tidak fikir mereka semua bersatu sebagai satu pasukan pada masa ini," tegas Neville.

Selain itu, majoriti pemain Man United juga dilaporkan sukar menyesuaikan diri dengan corak latihan keras yang diterapkan Rangnick apabila sering menghabiskan sesi latihan lewat menjelang malam.

Beberapa tonggak lain seperti Antony Martial, Dean Handerson, Eric Bailly, Jesse Lingard dan Donny van de Beek juga dilaporkan tidak gembira dan menunggu masa untuk keluar dari Old Trafford menjelang jendela perpindahan pemain dibuka semula pada Januari. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram