BINTANG Manchester United, Paul Pogba dikhabarkan teruja dengan prospek bermain di bawah pengurus interim baharu, Ralf Rangnick.
Kontrak pemain tengah Perancis itu di Old Trafford bakal tamat pada musim panas ini dan dia dijangka meninggalkan kelab itu secara percuma setelah perbincangan mengenai kontrak baharu menemui jalan buntu.
Real Madrid, Juventus dan Paris Saint-Germain merupakan antara tiga kelab yang dikaitkan dengan pemenang Piala Dunia itu, tetapi ketibaan Rangnick mungkin bakal mengubah situasi tersebut.
Pogba kini diketepikan daripada skuad sejak 8 November lalu selepas mengalami kecederaan paha ketika bersama pasukan kebangsaan dan mungkin mengambil masa sehingga lapan minggu untuk pulih.
Apabila dia kembali daripada rehat panjang, Rangnick sudah memulakan tugasnya di Old Trafford, dan Pogba dilaporkan tidak sabar untuk bermain di bawah pengurus Jerman itu.
Menurut The Athletic, Pogba telah menerima maklum balas positif mengenai Rangnick melalui kenalannya.
Dia teruja dengan prospek beraksi di bawah Rangnick dan merasakan pengurus berusia 63 tahun itu adalah calon yang tepat bagi membawa United kembali bersaing dalam kelompok empat teratas dan bersaing bagi mendapatkan piala.
Dengan perkembangan terbaru itu, Pogba mungkin bakal membuat pusingan U dan membuat keputusan untuk melanjutkan kontraknya di United.
Ejen Pogba, Mino Raiola sebelum ini memberi bayangan mengenai situasi pemain tengah itu dengan mengatakan "Disember adalah bulan untuk bermimpi" yang menguatkan lagi spekulasi perpindahannya pada jendela perpindahan Januari. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram