SKUAD Harimau Muda berpeluang menembus kehampaan Harimau Malaya apabila diundi bertemu musuh tradisi, Indonesia dalam Kumpulan B Kejuaraan Bawah 23 tahun (B-23) AFF 2022 di Kemboja, Februari depan.
Selain Indonesia, Harimau Muda juga diundi bersama-sama Myanmar dan Laos.
Undian yang diadakan di Singapura pada Rabu menyaksikan juara bertahan, Thailand diundi bersama-sama Singapura dan Vietnam dalam Kumpulan C manakala tuan rumah, Kemboja diletakkan bersama Filipina, Brunei dan Timor Leste dalam Kumpulan A.
Majlis undian itu juga disertai oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar dan ketua jurulatih Harimau Muda, Brad Maloney secara dalam talian.
Tiga pasukan teratas dalam setiap kumpulan dan satu naib juara kumpulan terbaik akan layak beraksi di separuh akhir.
Sejak edisi pertama, pencapaian terbaik pasukan negara pada kejohanan tersebut adalah menduduki tempat keempat pada edisi sulung yang berlangsung di Thailand pada tahun 2005.
Harapan besar diletakkan pada skuad Harimau Muda kali ini selepas mempamerkan prestasi cemerlang pada kelayakan Piala Asia B-23 di Mongolia, Oktober lalu. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram