Melaka United intai bintang muda TFC


  • Podium
  • Khamis, 30 Dis 2021

NIK AKIF (kiri) merupakan antara tonggak Harimau Muda. — The Star

PERANCANG utama Melaka United (MU), Manuel Ott dikhabarkan bakal berhijrah ke Terengganu FC (TFC) pada musim depan.

Berikutan itu, MU difahamkan sedang memantau perkembangan pemain muda kebangsaan, Nik Akif Syahiran Nik Mat sebagai pengganti Ott.

Nik Akif kini beraksi bersama TFC dan difahamkan kedua-dua pasukan cuba melakukan urusan pertukaran pemain.

Sekiranya perpindahan itu berlaku, Nik Akif akan mengisi kesebelasan utama MU sebagai perancang utama pasukan tersebut.

Pemain kelahiran Kelantan itu jarang diturunkan sebagai kesebelasan utama dan hanya beraksi sebanyak 17 kali pada musim lalu serta menyumbat satu gol.

Pengendali TFC, Nafuzi Zain lebih berminat menggunakan pemain import dari Mali, Makan Konate untuk mengetuai barisan tengah pada musim lalu berbanding Nik Akif.

Malahan, berita kehilangan arwah bapanya pada Oktober lalu turut memberi kesan kepada perkembangan pemain berusia 22 tahun itu.

Nik Akif juga pada Oktober lalu antara watak penting yang membantu skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara layak ke Piala Asia B-23 di Uzbekistan tahun hadapan.

Bagi mengekalkan peluangnya beraksi bersama skuad bimbingan Brad Maloney itu pada tahun depan, perpindahan ke MU akan memberi nafas baharu buat Nik Akif. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram