PARA penyokong bola sepak tempatan terutamanya peminat Sarawak United sedia maklum dengan tindakan pemain pertahanan dari Australia, Taylor Regan menamatkan baki kontraknya selama 12 bulan bersama pasukan terbabit.
Pemain berkenaan membantu Sarawak United mara ke saingan Liga Super musim depan selepas menjadi naib juara Liga Premier musim lalu.
Dakwa Regan, pengurusan Sarawak United masih gagal menjelaskan tunggakan gaji selama 4 sehingga 5 bulan.
Susulan situasi terbabit, pemain berusia 33 tahun mengheret Sarawak United kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
“2021 adalah musim yang dianggap berjaya dan menyeronokkan, tetapi kini tiba masanya untuk mengucapkan selamat tinggal.
“Kami mencapai banyak kejayaan pada tahun ini dan saya sendiri membina persahabatan seumur hidup bersama kumpulan pemain dan kakitangan di sini.
“Ini adalah keputusan yang sukar kerana saya masih mempunyai baki kontrak selama 12 bulan. Tetapi keadaan kewangan yang menjadi isu kelab membuatkan saya tiada pilihan lain.
“Saya masih berharap pihak kelab masih mampu mencari jalan penyelesaian untuk membayar gaji rakan sepasukan lain dan barisan kejurulatihan secepat mungkin.
“Mereka sememangnya berhak mendapatkan apa yang dijanjikan oleh pengurusan. Selamat maju jaya kepada semua pihak untuk masa hadapan," katanya menerusi Instagram rasmi miliknya baru-baru ini.
KENYATAAN Regan susulan keputusannya menamatkan baki kontraknya bersama Sarawak United. — Instagram Taylor Regan
Selain Regan, beberapa pemain Sarawak United turut dikaitkan dengan khabar perpindahan ke kelab lain.
Antara pemain tersebut adalah Muhammad Zahril Azri Zabri yang semakin hampir berpindah ke Selangor FC. Selain itu, Christie Jayaseelan juga dikhabarkan sedang 'didekati' oleh Kelantan United musim depan.
Malah, tiga pemain pertahanan Sarawak United iaitu Tommy Mawat, Khair Jones dan Mohd Badrul Affendy disambar oleh negeri jiran, Sabah FC.
Pada masa sama, komen penyerang import Sarawak United, Sandro Mendonca pada status Regan 'Who is next?' juga menguatkan lagi spekulasi betapa Taylor bukan satu-satunya yang akan meninggalkan pasukan itu musim depan.
Sarawak United sebelum ini hanya memperolehi lesen kebangsaan bersyarat daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Sekiranya Sarawak United gagal bekerjasama atau memenuhi syarat dengan cara apa pun, perkara akan diajukan kepada First Instance Body (FIB) dan sekatan berdasarkan Artikel 2.4 Peraturan Kelab MFL 2021.
Berdasarkan artikel tersebut, Sarawak United boleh dikenakan tindakan tidak terbatas kepada pemindahan larangan, penyingkiran ke pembahagian bawah dan pengeluaran lesen. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram