Berbaloikah KDA FC pinjam Syafiq?


  • Podium
  • Sabtu, 18 Dis 2021

MUHAMMAD Syafiq pernah beraksi bersama KDA FC dari 2015 hingga 2017. — The Star

PENYERANG kebangsaan, Muhammad Syafiq Ahmad difahamkan bakal kembali semula menyertai Kedah Darul Aman FC (KDA FC) musim depan.

Muhammad Syafiq dikhabarkan mahu mendapatkan minit permainan selepas sering diketepikan ketika beraksi bersama Johor Darul Takzim (JDT) selama empat tahun di sana.

Dia hanya beraksi 49 penampilan dan 11 gol serta lima bantuan hantaran sepanjang beraksi dari 2017 hingga 2021 bersama JDT.

Sebelum ini, Muhammad Syafiq mencetuskan kontroversi selepas secara terbuka mengkritik JDT di laman Twitter rasminya.

Perkara itu mengundang rasa kurang senang pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang berpendapat Muhammad Syafiq seolah-olah lupa akan polisi kelab yang memerlukan pemain berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkan tempat di dalam skuad utama JDT.

Tidak lama selepas itu, dia memohon maaf secara terbuka menerusi Instagram miliknya kerana bertindak mengikut emosi.

Pemergian gandingan penyerang berbisa, Kpah Sherman dan Tchetche Kipre dari KDA FC ke Terengganu FC bakal mencerahkan peluang Muhammad Syafiq beraksi dalam skuad Hijau Kuning musim depan.

Muhammad Syafiq berkemungkinan memerlukan masa untuk kembali ke prestasi terbaik susulan jarang diturunkan.

Malahan, sewaktu di KDA FC dari 2015 hingga 2017, Muhammad Syafiq hanya menjaringkan 15 gol dalam 76 penampilan bersama skuad Hijau Kuning, sekali gus menimbulkan kebimbangan sama ada dia mampu memberikan impak besar dalam pasukan berkenaan.

Berdasarkan statistik tersebut, Muhammad Syafiq dilihat sukar mengisi kekosongan ditinggalkan oleh Sherman dan Kipre mengikut prestasi semasanya.

Difahamkan, segelintir penyokong fanatik Hijau Kuning juga lebih berminat pihak pengurusan KDA FC mencari penyerang lain berbanding mendapatkan semula khidmat Muhammad Syafiq. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram