SKUAD Harimau Malaya gagal meneruskan kemaraan ke peringkat separuh akhir Piala Suzuki AFF selepas tumpas kepada Indonesia 1-4 malam Ahad.
Harimau Malaya mendahului menerusi rembatan padu Kogileswaran Raj dari luar kotak penalti pada minit ke-13.
Penyerang negara, Muhammad Syafiq Ahmad gagal menyempurnakan peluang yang terhidang pada minit ke-34 walaupun menerima hantaran jauh yang cantik dari Muhammad Safawi Rashid.
Indonesia menyamakan kedudukan pada minit ke-36 menerusi Irfan Jaya Kumi. Pemain sayap Indonesia itu kemudiannya menambah gol kedua pasukan berkenaan pada minit ke-43.
Pratama Arhan terus menambah luka Harimau Malaya apabila menyumbat gol ketiga buat Indonesia pada minit ke-50.
Pemain pertahanan tinggi lampai Indonesia, Elkan Baggott memastikan kemenangan Indonesia menerusi tandukan hasil sepakan sudut pada minit ke-82.
Sementara itu, Vietnam menepati ramalan apabila mudah menewaskan Kemboja 4-0 dalam satu lagi perlawanan Kumpulan B.
Gol-gol Vietnam dijaringkan oleh Nguyen Tien Linh pada minit ke-3 dan 27; Bui Tien Dung minit ke-55 dan Nguyen Quang Hai pada minit ke-57.
Indonesia akan bertemu Singapura di peringkat separuh akhir manakala Vietnam bertemu Thailand.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram