FAM bertanggungjawab kegagalan Harimau Malaya


  • Podium
  • Selasa, 21 Dis 2021

HARIMAU Malaya terpaksa sekadar menduduki tangga ketiga Kumpulan B, sekali gus gagal layak ke separuh akhir Piala AFF. — Facebook FAM

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil tanggungjawab sepenuhnya berhubung kegagalan skuad Harimau Malaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2020 di Singapura.

Menerusi satu kenyataan dikeluarkan pada Isnin, FAM memaklumkan Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin mengarahkan pengurusan skuad kebangsaan supaya mengemukakan laporan lengkap mengenai prestasi pasukan sepanjang kempen kejuaraan itu kepada Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan dalam masa terdekat.

Ujar Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar dalam kenyataan sama, laporan itu akan diteliti Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan sebelum dibentangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kelak.

Skuad kebangsaan kendalian ketua jurulatih Tan Cheng Hoe gagal melangkah ke peringkat kalah mati selepas menamatkan saingan Kumpulan B di kedudukan ketiga di belakang Indonesia dan juara bertahan Vietnam.

Malaysia yang melalui tempoh persiapan singkat dan mencabar terutama dari aspek ketersediaan pemain, memulakan kempen dengan cemerlang apabila membenam Kemboja 3-1 dan Laos 4-0, namun tewas di tangan Vietnam 0-3 serta musuh tradisi, Indonesia 1-4.

Pencapaian mengecewakan itu menyaksikan skuad Harimau Malaya yang turun beraksi sebagai naib juara edisi 2018 gagal mencapai sasaran diletakkan FAM untuk layak ke final. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram