Selangor FC rancak berbelanja


  • Podium
  • Sabtu, 18 Dis 2021

MUHAMMAD Fazly difahamkan akan meninggalkan JDT dan menyertai Selangor FC. — Gambar Ihsan Pahang FA

SELANGOR FC terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada beberapa tonggak kelab itu menjelang musim baharu Liga Malaysia.

Antara yang 'berpisah' dengan kelab berkenaan adalah penyerang berbisa, Ifedayo Olusegun; pemain sayap, Sean Selvaraj dan bek kanan, Muhammad Syahmi Safari serta Wan Zack Haikal Wan Noor.

Bagaimanapun, Selangor FC turut dilihat berbelanja sakan apabila menambah beberapa muka baharu ke dalam skuadnya musim depan.

Skuad The Red Giants mendapatkan khidmat penjaga gol kebangsaan, Samuel Sommerville daripada skuad Harimau Kumbang menerusi kontrak dua tahun.

Kehadiran Sommerville dijangka memberi saingan kepada penjaga gol nombor satu Selangor FC, Khairul Azhan musim depan. Musim lalu, Sommerville merekod enam 'cleansheets'.

Selangor FC yang menduduki tangga kelima Liga Super musim lalu juga difahamkan mahu memperkuatkan benteng pasukan itu apabila mendapatkan khidmat bek tengah kental Jordan, Yazan Al-Arab.

Screenshot 2021-12-17 161854

AL-Arab (kiri) mengumumkan akan menyertai Selangor menerusi Facebook miliknya. — Facebook

Pemain berkenaan memiliki pengalaman luas di peringkat antarabangsa apabila mewakili Jordan dalam 20 penampilan. Dia juga beraksi dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL) bersama Al-Wehdat pada tahun ini.

Pemain berusia 25 tahun itu berkemungkinan bergandingan dengan Safuwan Baharudin atau Tim Heubach musim depan.

Namun jika dilihat kepada masalah kecederaan yang membelenggu Heubach, Al-Arab dijangka menjadi tonggak penting di bahagian pertahanan bersama Safuwan.

Selain Al-Arab, Selangor FC mendapatkan khidmat dua pemain tengah iaitu rakan senegara al-Arab iaitu Baha Abdel-Rahman dan Muhammad Zahril Azril Zabri dari Sarawak United.

Abdel-Rahman dan Al-Arab masing-masing baru-baru ini berkongsi mereka sah menyertai Selangor FC menerusi media sosial.

Bek kiri Johor Darul Ta'zim (JDT) yang menghabiskan tempoh pinjamannya di Sri Pahang musim lalu, Muhammad Fazly Mazlan turut semakin hampir ke pasukan berpangkalan di Lembah Klang itu.

Selangor FC turut difahamkan memburu seorang pemain dari Amerika Latin namun Majoriti masih cuba mendapatkan butiran lanjut berhubung perpindahan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram