PEMAIN sayap lincah kebangsaan, Faisal Halim enggan menjadikan perlawanan pertamanya dalam Piala Suzuki AFF sebagai perlawanan terakhirnya pada kejohanan berkenaan.
Pemain berusia 23 tahun itu terlepas tiga perlawanan pertama ekoran terpaksa menjalani kuarantin selepas disahkan positif Covid-19 tetapi dia berharap dapat bermain menentang Indonesia dalam pertemuan terakhir Kumpulan B di Stadium Nasional Singapura pada Ahad.
Sekiranya dia terpilih, Faisal bertekad akan memastikan kejohanan itu sebagai memori 'indah' oleh dirinya.
Harimau Malaya perlu menumpaskan Indonesia untuk layak ke peringkat separuh akhir.
"Saya tidak mahu berada di Singapura untuk jangka masa singkat. Saya tidak datang ke sini untuk duduk selama 10, 11 atau 12 hari untuk tidak bermain bola sepak.
"Saya ke sini kerana mahu membantu negara kita mencapai prestasi yang baik dalam kejohanan ini.Terlepas tiga perlawanan adalah satu tempoh sukar.
"Saya tidak mahu perkara ini berlaku tetapi saya rasa ini adalah takdir dan saya harus menerimanya dengan hati terbuka. Sekarang saya bersedia, saya akan memberikan segala-galanya, dari segi fizikal dan mental, saya bersedia 100 peratus," katanya.
Tambah Faisal, Piala Suzuki AFF merupakan pentas terbaik untuk dirinya membuktikan sesuatu di peringkat antarabangsa.
"Saya bersedia diberikan sebarang peranan, sama ada sebagai kesebelasan utama atau pemain gantian.
"Perlawanan menentang Indonesia bukan perlawanan terakhir kami di sini. Kami tidak meninggalkan isteri, anak-anak dan orang tersayang selama lebih daripada sebulan hanya untuk berada sebentar di sini.
"Kami mahu membanggakan rakyat Malaysia dengan kemenangan menentang Indonesia," jelasnya lagi.
Malaysia terpaksa menempuh laluan berliku selepas jatuh ke tangga ketiga Kumpulan B dengan enam mata selepas tiga perlawanan susulan tewas 0-3 kepada Vietnam.
Indonesia berada di tangga teratas kumpulan dengan tujuh mata, hanya dipisahkan oleh perbezaan gol dengan Vietnam.
Skuad Garuda hanya memerlukan keputusan seri menentang Malaysia untuk mara ke separuh akhir.
"Indonesia berbeza daripada Laos, Kemboja dan Vietnam. Kami tidak tahu Indonesia yang bagaimana bakal kami hadapi pada Ahad.
"Tetapi kami akan mencari jalan untuk memecahkan benteng mereka," ujar Faisal. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram