SELEPAS mendapatkan khidmat Kpah Sherman dari Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan pertahanan tengah dari Senegal, Pape Diakite, Terengganu FC (TFC) kiri memburu khidmat tiga bintang import.
Difahamkan, TFC mahu mendapatkan khidmat bekas rakan sepasukan Sherman di KDA FC iaitu Tchetche Kipre.
Kipre juga tidak asing bagi TFC apabila pernah beraksi bersama kelab tersebut pada 2017 sehingga 2019.
Gandingan Sherman dan Kipre membantu KDA FC menduduki tangga kedua Liga Super musim lalu. Kedua-duanya menjaringkan jumlah gol keseluruhan sebanyak 23 gol serta 18 bantuan hantaran dalam saingan Liga Super.
Kehadiran Kipre memberi tanda tanya kepada masa depan seorang lagi penyerang TFC iaitu Jordan Mintah. Berkemungkinan Mintah akan kembali ke TFC II musim depan sekiranya perpindahan Kipre direalisasikan.
Selain itu, TFC juga difahamkan mahu mendapatkan khidmat perancang Melaka United, Manuel Ott.
Pemain berdarah kacukan Filipina-Jerman itu hanya berjaya menjaringkan dua gol dan satu bantuan hantaran dalam 22 penampilan Liga Super bersama Melaka United musim lalu.
Ott dijangka mengisi kekosongan ditinggalkan oleh Dechi Marcel yang berhijrah ke KDA FC.
OTT (kanan) hanya menjaringkan dua gol bersama Melaka United. — The Star
Seorang lagi pemain yang dikatakan bakal mengisi posisi ditinggalkan oleh Marcel adalah pemain tengah bertahan versatil dan juga merupakan rakan senegara Ott iaitu Luke Woodland.
Woodland sebelum ini pernah beraksi bersama Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada 2019. Dia kemudiannya berhijrah ke Thailand pada akhir 2019 untuk bermain bersama Ratchaburi FC.
Selain mampu bermain sebagai pemain tengah bertahan, Woodland juga mampu beraksi di posisi bek tengah dan kanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram