BELUM reda kisah perpindahan Muhammad Adib Zainudin ke Terengganu FC, kini kelab itu mendapatkan seorang lagi bek tengah dari Senegal iaitu Pape Diakite.
Menurut pengendali TFC, Nafuzi Zain, kehadiran pemain yang mempunyai ketinggian 1.94 meter itu diharapkan mampu memberi kelebihan kepada pasukan berkenaan dari segi perebutan bola di udara.
"Saya mengharapkan Diakite mampu menyesuaikan diri secepat mungkin dengan cara TFC bermain kerana sasingan Liga Malaysia musim depan lebih mencabar.
"Namun, pengalaman Diakite yang beraksi bersama dua pasukan gergasi Liga Vietnam iaitu Ho Chi Min City dan Saigon FC, mampu memberikan impak yang besar buat TFC," katanya menerusi kenyataan di laman sesawang TFC pada Rabu.
Kehadiran pemain berusia 28 tahun itu adalah bagi menggantikan kekosongan ditinggalkan oleh pemain pertahanan dari Filipina iaitu Carli De Murga.
Tambah kenyataan tersebut, Diakite bakal menyarung jersi nombor 44 musim depan.
Diakite berkemungkinan membentuk gandingan bersama Muhammad Adib, Muhd Shahrul Nizam Ros Hasni atau Argzim Redzovic pada saingan musim depan.
Selain Diakite, TFC juga sebelum ini berjaya mendapatkan khidmat penyerang import, Kpah Sherman dari Kedah Darul Aman FC (KDA FC). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram