Man United buru perancang muda Jerman


  • Podium
  • Selasa, 14 Dis 2021

WIRTZ dikhabarkan menjadi sasaran utama Rangnick pada Januari kelak. — AFP

MANCHESTER United memiliki pemain tengah menyerang seperti Bruno Fernandes dan Donny Van de Beek, namun dikhabarkan kelab itu berminat untuk mendapatkan seorang pemain muda Jerman bagi memperkukuhkan posisi berkenaan.

Musim ini, Fernandes sedikit tenggelam dengan kehadiran rakan senegaranya, Cristiano Ronaldo.

Meskipun merekodkan lima gol dan tiga bantuan hantaran dalam 16 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL), namun kehadiran Fernandes di atas padang tetap dibayangi Ronaldo.

Bagi Van de Beek pula, kariernya bersama Man United tidak segemilang seperti waktunya di Ajax Amsterdam.

Dia banyak diketepikan oleh bekas pengurus Man United, Ole Gunnar Solskjaer dan hanya mendapat peluang bermain di bawah Michael Carrick serta pengurus interim, Ralf Rangnick.

Selain itu, Van de Beek juga lebih banyak diletakkan sebagai 'double pivot' berbanding posisi tengah menyerang.

Screenshot 2021-12-14 173823

VAN de Beek (kanan) banyak bermain di posisi 'double pivot' di Man United. — AFP

Rangnick dilaporkan mahu mendapatkan pemain muda berbakat Jerman, Florian Wirtz dari Bayer Leverkusen.

Pemain berusia 18 tahun itu dikatakan menjadi sasaran utama Rangnick pada jendela perpindahan musim sejuk (Januari) namun menerima persaingan daripada Bayern Munich.

Sebelum ini, bapa kepada pemain itu, Hans-Joachim Wirtz mendedahkan anaknya akan bermain di liga Jerman, Bundesliga selama dua tahun lagi.

Pemain itu mempunyai kontrak bersama Leverkusen sehingga 2026 dan harga pasaran Wirtz dikhabarkan mencecah 71 juta pound (RM396 juta).

Musim ini, Wirtz yang juga disifatkan sebagai jelmaan Kai Havertz, merekodkan lima gol dan lapan bantuan hantaran.

Sekiranya Wirtz berhijrah ke Man United, masa depan Van de Beek berkemungkinan kian samar.

Tentunya Rangnick tidak mahu kehilangan Fernandes sebagai perancang utama dan kehadiran Wirtz akan menambah kekuatan dalam skuad Man United musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram