Suasana Malaysia tidak ideal punca pemain e-sukan ke negara lain — ChuaN


  • eSports
  • Sabtu, 30 Okt 2021

CHUAN (hadapan) menjulang trofi ketika memenangi kejohanan The International pada 2012. — Ihsan ChuaN

PENGLIBATAN Wong Hock Chuan atau lebih dikenali sebagai ChuaN dalam arena e-sukan bukanlah 'dirancang' dari awal.

Kecederaan kaki yang serius sewaktu menjalani latihan pasukan bola keranjang menyebabkan beliau terpaksa bersara awal daripada sukan berkenaan.

Sejak itu, ChuaN,30, 'terjebak' dalam e-sukan dan memberi tumpuan bermain permainan video Dota.

"Semasa saya bermain bola keranjang, bermain permainan video lebih kepada cara untuk saya berhibur ketika masa lapang.

"Saya pernah memenangi kejohanan kecil di kafe Internet di kampung halaman saya, Kepong, Kuala Lumpur dan juga dalam kejohanan tempatan," katanya ketika ditemubual oleh Majoriti baru-baru ini.

ChuaN kemudiannya dijemput oleh organisasi e-sukan di China untuk menjadi pemain profesional.

Selepas beberapa tahun menjadi pemain profesional, ChuaN meraih tempat pertama dalam kejohanan terbesar Dota iaitu The International pada 2012 dan membawa pulang hadiah sebanyak AS$1 juta (RM4.1 juta).



ChuaN mula bermain permainan video ketika berusia 13 atau 14 tahun. — Ihsan ChuaN

Sejak itu, ChuaN memenangi pelbagai kejuaraan di kejohanan seperti G-League Season 2 pada 2013, ESL One Frankfurt 2014 dan Major All Stars Dota 2 pada 2015.

ChuaN ketika ini berehat daripada bermain sepenuh masa dan menumpukan perhatian kepada bidang kejurulatihan.

"Saya kini bekerja sebagai jurulatih untuk sebuah pasukan Asia Tenggara. Memandangkan ia masih belum diumumkan secara rasmi, jadi saya tidak mahu mendedahkannya terlebih dahulu.

"Saya masih belum berpeluang untuk bermain bersama dengan pemain yang saya gemari dan jika ada, saya pasti akan mempertimbangkan untuk menyertai pasukan Dota baharu," ujarnya.



ChuaN berkelana ke China untuk menjadi pemain profesional — Ihsan ChuaN

Tambah ChuaN, arena e-sukan di Malaysia masih belum berada pada skala yang besar berbanding negara lain.

"Secara faktanya, ramai pemain e-sukan berbakat di Malaysia. Malangnya, persekitaran e-sukan di Malaysia tidak ideal, ramai pemain memilih menyertai organisasi e-sukan di negara lain.

"Dengan perkembangan pesat dalam industri e-sukan dan peningkatan pelaburan dalam e-sukan di Malaysia, saya rasa semakin ramai pemain e-sukan bakal muncul dalam masa terdekat. Saya harap kita akan memiliki lebih banyak organisasi e-sukan dan penaja di Malaysia," menurutnya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram