SOKONGAN arwah nenek menjadi 'tonik' atau pemangkin kepada Nur Amirul Afandi atau dikenali sebagai AmTuah berjaya dalam arena e-sukan tempatan dan serantau.
Bagi AmTuah,27, arwah neneknya menyokong kariernya sebagai atlet e-sukan sejak membabitkan diri dalam industri berkenaan.
"Saya pernah berdepan stigma masyarakat yang mengatakan e-sukan ini tiada masa hadapan. Sokongan arwah nenek yang membuatkan saya terus kuat dan berjaya sehingga kini," ujarnya kepada Majoriti.
Menyoroti kembali perjalanan kariernya, AmTuah bukan nama asing dalam arena e-sukan tempatan terutamanya bagi para peminat permainan video FIFA.
AmTuah juga pernah mewakili Malaysia dan menjadi juara FIFA peringkat Asia Tenggara tiga tahun berturut-turut.
AmTuah kini menjadi jurulatih Team Haq. — Ihsan AmTuah
Ketika ditanya tentang tips AmTuah sebelum bertanding dalam kejohanan utama, beliau menitikberatkan aspek rehat dan pemakanan.
"Saya akan memastikan saya mendapatkan tidur yang mencukupi. Daripada segi pemakanan, saya cuba mengelak daripada mengambil sebarang makanan berkarbohidrat semasa hari kejohanan," katanya.
Dalam pada itu, AmTuah mendedahkan lawan paling sukar yang pernah dihadapinya ketika kejohanan antarabangsa adalah Nicholas dari Argentina.
"Saya menentangnya ketika Esports World Championship pada tahun ini. Namun, saya lihat jurang antara para atlet e-sukan Malaysia dan antarabangsa khususnya di Eropah semakin kecil," menurutnya lagi.
AmTuah yang pernah bermain untuk pasukan Jerman, Schalke 04 dan ketika ini menjadi jurulatih kepada pasukan Team Haq, masih memasang impian bermain untuk organisasi e-sukan di luar negara.
"Selain itu, sekiranya e-sukan dipertandingkan dalam Sukan Olimpik, saya sudah tentu mahu mewakili Malaysia ke kejohanan terbabit," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram