'Jangan salur peruntukan e-sukan ke tempat lain'


  • eSports
  • Sabtu, 27 Nov 2021

MOHD Rezza (tengah, berdiri) memberikan arahan kepada pasukan bimbingannya, FrostFire pada kejohanan Extremeland Zowie pada 2018. — Ihsan Mohd Rezza

PERUNTUKAN sebanyak RM20 juta untuk sukan elektronik atau e-sukan yang dibentangkan ketika Bajet 2022 pada Oktober perlu digunakan sebaik mungkin dan tidak disalurkan kepada pihak yang mementingkan 'poket' sendiri.

Kenyataan itu dilontarkan oleh bekas atlet e-sukan Counter Strike, Mohd Rezza Talaha, 34.

"Dengan adanya peruntukan daripada pihak kerajaan, sedikit sebanyak saya yakin kerajaan semakin matang dan faham tentang e-sukan.

"Saya berharap lebih ramai atlet e-sukan yang sebelum ini dapat bekerjasama untuk memajukan e-sukan di Malaysia," katanya kepada Majoriti.

Menurut Mohd Rezza yang kini menjadi jurulatih sepenuh masa kepada pasukan Counter Strike:Global Offensive (CSGO), FrostFire, para atlet e-sukan di Malaysia masih jauh ketinggalan berbanding atlet luar negara kerana memiliki kelebihan daripada segi sokongan kerajaan.

WhatsApp Image 2021-11-12 at 23.40.15

MOHD Rezza (dua dari kanan) memenangi kejuaraan bersama Team Orange Esports pada 2011. — Ihsan Mohd Rezza

Jelasnya, masih ada pihak tertentu memandang e-sukan sebagai satu bidang tidak membawa apa-apa kebaikan atau kelebihan kepada negara.

"Kita boleh lihat baru-baru ini bagaimana para atlet Dota 2 Malaysia menerima pelbagai pendedahan selama bertahun-tahun di luar negara dan mewakili pasukan China.

"Tahap kemahiran atlet Malaysia agak tinggi sebenarnya. Disebabkan pendedahan yang kurang di negara ini, ramai atlet tidak mendapat input dan latihan yang mencukupi.

"Justeru, mereka berhijrah ke luar negara, kebanyakannya ke China kerana faktor gaji yang tinggi dan sokongan daripada organisasi, sekali gus memberikan 'keselesaan' kepada mereka serta bukannya sekadar angan-angan untuk menjadi pemain profesional.

"Mereka bukan sahaja menerima gaji yang berpatutan, malahan mempunyai fasiliti yang mencukupi dan selesa serta doktor yang memantau setiap kondisi atlet khususnya aspek kesihatan mental, latihan gimnasium dan sebagainya," ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Rezza turut berkongsi rutin latihan setiap hari dan persiapan sebelum bertanding dalam sesuatu kejohanan untuk FrostFire.

WhatsApp Image 2021-11-12 at 23.40.15 (1)

MOHD Rezza (dua dari kiri) dalam salah satu kejuaraan yang disertainya pada 2011. — Ihsan Mohd Rezza

"Dari segi latihan, FrostFire berlatih setiap hari selama lapan jam dari Isnin hingga Jumaat iaitu dari pukul 10 pagi - 6 petang. Untuk latihan setiap hari, saya akan adakan dua atau tiga pertempuran atau 'set match' dengan beberapa pasukan dari Singapura, Thailand, India, Filipina, Jepun atau China.

"Dari aspek pemakanan, selalunya saya akan mengehadkan makanan yang boleh mencetuskan rasa mengantuk kepada pemain semasa sesi latihan. Ini termasuklah pada hari pertandingan, saya akan meminta mereka minum lebih banyak air putih dan snek ringan seperti coklat atau buah bagi meningkatkan kesegaran semasa pertandingan. Konsentrasi adalah kunci utama untuk lebih fokus dan mendatangkan keputusan baik dalam setiap perlawanan.

"Rehat dan tidur yang tidak cukup banyak membawa impak besar semasa bermain di mana fokus akan mudah terganggu dan kurang berinteraksi dengan rakan sepasukan.

"Saya juga menggalakkan para pemain untuk melakukan senaman ringan seperti jogging atau sukan yang mereka minati bagi menaikkan stamina mereka. Walaupun sekadar bermain permainan video, tahap kecergasan setiap pemain membawa banyak perbezaan semasa pertandingan," jelas beliau. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram