SKUAD Harimau Malaya diseru untuk menewaskan pasukan Vietnam pada kempen Piala AFF kali ini, yang bakal bermula pada Ahad ini hingga 1 Januari depan di Singapura.
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pentas Asia Tenggara seharusnya tidak menjadi masalah buat pasukan kebangsaan.
"Apabila anda sudah masuk ke dalam pasukan dan menyarung jersi Harimau Malaya, saya mahu semua pemain ini beri segalanya yang terbaik yang mereka ada dan fokus sepanjang kejohanan berlangsung.
"Ingin saya tegaskan di sini bahawa kali ini, kita mesti mengalahkan Vietnam bagi membuktikan yang Malaysia juga sebenarnya sama kuat dan hebat,” katanya dalam satu kenyataan selepas bersarapan pagi dengan barisan pemain dan pegawai skuad kebangsaan sebelum mereka berlepas ke Singapura pada Jumaat.
Skuad Harimau Malaya akan membuka kempen saingan Kumpulan B bertemu Kemboja pada 6 Disember, diikuti aksi berikutnya menentang Laos (9 Disember), Vietnam (12 Disember) dan Indonesia (19 Disember) bagi memburu dua tempat teratas ke separuh akhir.
Kali terakhir skuad Harimau Malaya mencatatkan kemenangan ke atas Vietnam adalah kejayaan 4-2 pada separuh akhir kedua Piala AFF 2014, manakala enam pertemuan seterusnya dalam pelbagai kejohanan menyaksikan skuad Naga Emas itu menang lima kali dan seri sekali.
Pada edisi 2018, tewas agregat agregat 2-3, selepas terikat 2-2 pada aksi pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum tewas 1-0 pada final kedua di Hanoi.
Menurut Hamidin, barisan pemain kali ini adalah yang terbaik menerusi gabungan pemain muda dan juga berpengalaman, selain pemainn warisan dan juga naturalisasi bagi menggalas tanggungjawab di kejohanan berprestij itu.
"Pemain-pemain yang ada seperti pemain muda seperti Mukhairi Ajmal, Luqman Hakim dan Arif Aiman; pemain-pemain pada usia pertengahan seperti Safawi Rasid dan pemain senior berpengalaman seperti Aidil Zafuan, Baddrol Bakhtiar dan Khairul Fahmi.
"Selain itu, kita juga mempunyai pemain warisan seperti Dion Cools, Junior Eldstal dan Quentin Cheng serta pemain naturalisasi, Guilherme de Paula," katanya.
Dalam pada itu, Datuk Haji Hamidin turut menyeru seluruh rakyat Malaysia terutama penyokong Harimau Malaya untuk mendoakan kejayaan pasukan di Singapura.
"Kali ini, tidak mustahil untuk kita mengulangi kejayaan mara ke final dan menjulang piala biarpun saya sedar kekangan akibat Covid-19 ini menyukarkan kita semua untuk hadir ke Singapura. Tapi sama-sama kita di tanah air mendoakan kejayaan pasukan dan terus memberi sokongan padu biarpun dari jauh,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram