PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp memberi amaran kepada bakal pengurus interim Manchester United, Ralf Rangnick mengenai cabaran menguruskan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan mengatakan mentornya itu tidak akan mempunyai masa untuk membawa perubahan besar di Old Trafford.
Sambil memuji kehebatan Rangnick, Klopp berkata, jadual padat EPL sepanjang Disember dan Januari bakal memberi cabaran besar buat rakannya itu, sebagaimana yang dilaluinya ketika tiba di Anfield pada pertengahan musim 2015/16.
"Anda mempunyai idea tetapi anda perlu menyesuaikannya dengan pasukan anda, dan itu adalah perkara yang saya rasa tidak mudah apabila anda tiba pada pertengahan musim, dan terdapat hampir 20 perlawanan antara hari ini hingga malam tahun baru.
“Itu merupakan cabaran besar kerana perkara yang anda mahu ubah di atas padang, kita semua tidak mempunyai masa untuk itu.
“Seperti semua jurulatih di dunia, kami memerlukan masa untuk berlatih dengan pasukan kami dan Ralf akan sedar dengan cepat bahawa dia tidak mempunyai masa untuk berlatih kerana mereka bermain sepanjang masa.
“Jadi walaupun pasukan anda sudah belajar, anda masih memerlukan pertemuan yang panjang dan tidak ada peluang untuk itu! Ia akan menjadi menarik,” katanya.
Klopp sendiri sudah banyak kali mengadu tentang jadual padat di EPL, dan menyeru pengurusan liga untuk mengurangkan beban berlebihan yang menyebabkan pemain letih.
Bercakap mengenai Rangnick, Klopp berkata, pengurus berusia 63 tahun itu dipandang tinggi oleh jurulatih di seluruh dunia, dan menyifatkannya sebagai seorang lelaki yang sangat baik, dan seorang jurulatih yang cemerlang serta sangat dihormati.
Kedua-duanya pengurus itu sememangnya rapat sejak sekian lama, dan pengurus The Reds itu pernah menelefon Rangnick sebelum dia pertama kali mengambil peranan sebagai pengurus di Mainz.
“Kami berhadapan satu sama lain buat kali pertama ketika saya merupakan seorang jurulatih yang sangat muda. Dia memanggil saya pengurus muda Mainz dan bertanya banyak soalan.
“Saya gembira kerana Ralf Rangnick yang tersohor memanggil saya, tetapi dia mendapat semua maklumat yang diperlukan dan mereka (Hannover 96) dinaikkan pangkat manakala kami (Mainz) tidak, jadi dia berhutang dengan saya!" katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram