Ronaldo punca MU gagal tampil garang?


  • Podium
  • Sabtu, 27 Nov 2021

RONALDO (kiri) meraikan jaringan ketika menentang Villareal dalam saingan UCL baru-baru ini. — AP

CRISTIANO Ronaldo jarang sekali mengalami musim yang buruk pada tahap individu. Dari awal kariernya di Sporting Lisbon, kemudian berpindah ke Manchester United, Real Madrid, Juventus dan kini kembali semula ke Old Trafford, Ronaldo sentiasa memuaskan hati jurulatih serta penyokong kelab.

Bintang Portugal itu sering mencetak gol demi gol yang luar biasa. Contohnya musim ini, Ronaldo menjaringkan sembilan gol daripada 13 penampilan dalam semua pertandingan untuk Man United.

Walaupun menampilkan prestasi yang baik, secara kolektifnya, Ronaldo turut dipersalahkan kerana setakat ini Man United gagal tampil garang, sekali gus membawa kepada pemecatan Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengurus.

Sesetengah peminat percaya kedatangan Ronaldo telah mengganggu percaturan serta keharmonian skuad yang berada di bawah kepimpinan Solskjaer sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Itu kerana sebagai salah seorang pemain bola sepak terhebat yang pernah dilihat, Ronaldo jelas tampil dengan ego yang sangat besar dan sukar dikawal.

Malahan ego berkenaan kadang kala memberi masalah kepada pasukan. Salah satu contoh terkini ialah ketika Man United bermain menentang Villareal dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) baru-baru ini. Walaupun menang 2-0, ada detik yang menunjukkan ego tinggi Ronaldo.

Menjelang separuh masa, MU sebenarnya mendapat sepakan percuma tepat di luar kotak penalti Villareal. Sudah tentu dengan penuh keyakinan, Ronaldo melangkah ke hadapan sebagai pengambil sepakan tersebut.

Malangnya, sepakan Ronaldo hanya terkena benteng pertahanan Villareal.

Satu lagi kelemahan adalah ia adalah tendangan percuma ke-34 berturut-turut yang gagal disempurnakan Ronaldo dalam UCL. Dalam erti kata lain, Ronaldo tidak menjaringkan gol sepakan percuma dalam UCL sejak September 2016.

Nampaknya, Ronaldo perlu membenarkan rakan sepasukan lain untuk melakukan sepakan percuma. Pemain seperti Bruno Fernandes atau Paul Pogba (jika cergas) adalah pengambil sepakan percuma yang sangat baik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram