PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp mengakui pelantikan Ralf Rangnick sebagai pengurus sementara Manchester United pada baki saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, bukanlah satu berita baik buat pasukan lain.
Ujar Klopp, Man United akan menjadi ancaman terbesar apabila rakan senegaranya dari Jerman itu mengambil alih Red Devils.
"Malangnya pengurus yang bagus datang ke England, ke Manchester United.
"Rangnick semestinya seorang pengurus yang cukup berpengalaman. Beliau membina dua pasukan daripada bawah sehingga menjadi ancaman di Jerman bersama Hoffenheim serta RB Leipzig.
"Man United akan menjadi lebih teratur di atas padang, kita patut menyedari bahawa itu bukan satu berita baik bagi pasukan lain.
"Tetapi semua jurulatih khususnya, kami memerlukan masa untuk melatih pasukan dan Rangnick akan segera menyedari bahawa beliau tidak mempunyai masa untuk melatih kerana mereka akan bermain setiap masa, jadi itu situasi yang sukar baginya," kata Klopp.
Rangnick sah menjadi pengurus sementara Man United selama enam bulan dan akan bertindak sebagai 'konsultan' dalam tempoh dua tahun selepas tamat peranannya sebagai pengurus.
Bagaimanapun, Rangnick tidak menolak sekiranya Man United mahu melantiknya sebagai pengurus tetap seandainya Mauricio Pochettino atau Erik Ten Hag enggan melatih kelab tersebut musim depan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram