Manchester United bukan lawan yang mudah — Mount


  • Podium
  • Ahad, 28 Nov 2021

MOUNT berpendapat Manchester United masih mempunyai banyak ancaman di barisan hadapan. — Agensi

BINTANG Chelsea, Mason Mount menegaskan bahawa Manchester United boleh memberi kejutan kepada mereka dalam perlawanan pada awal pagi Isnin walaupun pasukan itu mempunyai prestasi yang buruk musim ini.

Katanya, perkara itu boleh berlaku memandangkan Manchester United mempunyai pemain-pemain dengan rekod yang terbaik dan berkualiti.

Bagaimanapun ramai pihak termasuk Shaun Wright-Phillips, menganggap Chelsea sebagai pilihan utama menjelang pertembungan di Stamford Bridge itu.

Ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan, memandangkan prestasi yang dimiliki Chelsea.

Legenda Chelsea, Petr Cech, pula baru-baru ini menyatakan bahawa pertukaran pengurus di Manchester United berkemungkinan boleh memberi kesan kepada anak buah Thomas Tuchel.

Mount nampaknya bersetuju dengan Cech dan berkata Chelsea berada dalam situasi yang sama ketika Tuchel mula-mula mengambil alih.

“Kami baru-baru ini melalui tempoh itu dan bertukar pengurus.

“Ia boleh pergi satu arah di mana semua pemain mahu membuktikan sesuatu, mereka berada di puncak permainan mereka dan anda perlu bersedia untuk itu dan kami akan melakukannya.

“Tetapi ia adalah sesuatu yang sukar untuk dibaca dan dipelajari kerana anda tidak tahu apa yang mereka akan lakukan," kata pemain antarabangsa England itu.

Katanya lagi Chelsea perlu bersedia untuk apa sahaja dan perlawanan dengan Manchester United juga bukan sesuatu yang boleh diambil mudah.

Seperti yang ditegaskan oleh Mount, walaupun mungkin tanpa lebih daripada tiga pemain utama untuk perlawanan itu, Manchester United masih mempunyai banyak ancaman di barisan hadapan.

Bruno Fernandes telah mencipta lebih banyak peluang berbanding pemain lain dalam liga musim ini, manakala pemain seperti Cristiano Ronaldo dan Marcus Rashford adalah penjaring gol yang tidak boleh dipertikaikan kemampuan mereka. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram