BEKAS pemain pertahanan Manchester United, Rio Ferdinand percaya Erling Haaland lebih sesuai bermain dengan Liverpool berbanding Manchester City.
Penyerang Norway itu adalah antara penyerang paling prolifik di Eropah dan telah muncul sebagai antara pemain paling hangat di pasaran perpindahan.
Menurut Ferdinand, dia merasakan pemain muda berusia 21 tahun itu sesuai bermain dengan gaya atau corak permainan Liverpool.
"Saya rasa Haaland lebih baik bermain dengan pasukan lain selain Man City. Jika saya Liverpool, saya dah ambil dia sekarang.
"Rasanya tidak sukar bagi Haaland untuk menyesuaikan diri jika dia pergi ke Liverpool. Ia adalah sistem yang berbeza.
"Sebelum ini, anda lihat sendiri Jack Grealish pergi ke Man City, dia salah seorang pemain yang hebat. Kita semua suka melihat gaya permainannya, namun agak sukar baginya untuk membiasakan diri dengan pasukan.
"Bukan semua pemain boleh ke (Liverpool) dan cepat membiasakan diri," katanya kepada BT Sport seperti dipetik portal FootballTransfers.com.
FERDINAND percaya Liverpool pasukan yang lebih sesuai buat Haaland berbanding Man City. — Agensi
Pandangan Ferdinand bagaimanapun berbeza dengan bekas bintang Liverpool, Michael Owen yang percaya Haaland lebih sesuai ke Man City.
Owen menyifatkan ketibaan Haaland akan menjejaskan persembahan Mohamed Salah.
"Saya tidak pasti Salah boleh dapat gol yang banyak jika Haaland berada dalam pasukan. Saya juga kurang pasti jika Haaland lebih sesuai di Manchester City. Secara peribadi, saya rasa Man City," katanya.
Kebanyakan pasukan utama di benua Eropah telah dikaitkan dengan Haaland sejak 12 bulan lalu, termasuk Liverpool, Man City, Manchester United, Chelsea, Bayern Munich, Juventus, Real Madrid dan Paris Saint-Germain.
Disebabkan kekuatan kewangan pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL), Haaland dikhabarkan akan berpindah ke England.
Bapanya, Alf-Inge Haaland, bermain dengan Man City dalam kariernya, manakala juara EPL itu diketahui sedang mencari penyerang tengah baharu.
Haaland didakwa mempunyai klausa pelepasan dalam kontrak semasanya di Borussia Dortmund yang akan membolehkannya berpindah pada harga 75 juta Euro pada jendela perpindahan musim panas akan datang.
Bayarannya yang tinggi bermaksud hanya segelintir kelab yang mampu membelinya, yang mana Liverpool adalah salah satunya.
Bagaimanapun, kelab The Reds itu mungkin perlu memecahkan struktur gaji untuk menandatangani bintang Norway tersebut.
Pada masa ini, mereka sedang memikirkan sama ada akan tunduk kepada tuntutan kontrak Mohamed Salah, yang telah berada dalam prestasi cemerlang kempen kali ini.
Ini juga bermaksud, jika Haaland menandatangani kontrak bersama Liverpool, dia boleh menuntut gaji lumayan yang hampir sama dengan amaun yang Salah mahukan iaitu kira-kira RM2.85 juta seminggu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram