Wanro optimis e-sukan bakal ke Olimpik


  • eSports
  • Sabtu, 16 Okt 2021

WANRO (kiri) bersama-sama ahli pasukan MVP Karnal. — Ihsan Wanro
BERKECIMPUNG dalam arena e-sukan negara selama 10 tahun tentunya satu pengalaman indah buat pemilik nama Mohd Syazwan Mohd Hanafie atau dikenali sebagai Wanro dalam kalangan para peminat serta rakan-rakan seperjuangan.

Menjengah sebentar perjalanan awal Wanro dalam dunia e-sukan, beliau mula bermain dan bertanding secara profesional semenjak 2007 serta memberi tumpuan sepenuhnya kepada permainan video, Counter Strike.

Sepanjang kariernya, beliau memasuki banyak kejohanan seperti World Cyber Games (WCG) di China pada 2012 dan World Electronic Sports Games (WESG) Korea pada 2016.

"Pencapaian terbaik saya adalah meraih tempat ketiga/keempat ketika peringkat kelayakan Electronic Sports League (ESL) One Cologne Asia pada 2015 untuk permainan video Counter Strike: Go," ujarnya kepada Majoriti baru-baru ini.

Selepas kira-kira sedekad menabur bakti dalam arena e-sukan tempatan, Wanro kemudiannya mendirikan rumah tangga pada 2016 dan mengambil keputusan untuk bersara pada 2017.

"Saya bermain e-sukan secara separuh masa ketika ini kerana gaji sebagai atlet e-sukan tidak setinggi macam di luar negara. Paling tinggi pun kira-kira RM3,000 sebulan.

"Sebab itu saya mengambil keputusan untuk memberi tumpuan kepada pekerjaan sahaja. Syukur sekarang ini saya bekerja bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan fokus kepada pembangunan e-sukan tempatan," katanya lagi.



Wanro ketika beraksi bersama pasukan Orange Sports pada 2012-2014. — Ihsan Wanro


Tambah Wanro, beliau melihat e-sukan akan sentiasa berkembang selari dengan perkembangan teknologi disebabkan ramai orang sudah beralih kepada permainan mudah alih.

"Para pemain boleh mengakses dan bermain permainan video dengan lebih mudah. Banyak kejohanan juga tertumpu kepada permainan mudah alih.

"Selain itu, hadiah kemenangan dan penganjuran kejohanan e-sukan semakin bertambah serta mendapat sokongan yang memuaskan.

"Kalau dilihat, meskipun pandemik Covid-19 melanda, kejohanan e-sukan masih boleh dianjurkan secara dalam talian," jelasnya lagi.

Menurut Wanro, acara e-sukan tidak mustahil bakal dipertandingkan dalam temasya Sukan Olimpik pada masa hadapan.

"Pada 2018, e-sukan dipertandingkan sebagai acara pertunjukan di Sukan Asia Jakarta, Indonesia.

"Pada tahun berikutnya, e-sukan dipertandingkan sebagai acara pingat di Sukan Sea Filipina. Sukan Asia 2022 juga dijangkakan e-sukan akan dijadikan sebagai acara pingat.

"Jadi tidak mustahil kita akan melihat e-sukan di Sukan Olimpik kelak," ujarnya. — Majoriti