Stadium bergelap, aksi Melaka United — KL City tergendala


  • Podium
  • Jumaat, 26 Nov 2021

SEPAK mula hanya dilaporkan bermula kira-kira pukul 10 malam. — Facebook/Melaka United Fans

GANGGUAN bekalan elektrik di Stadium Hang Jebat, Melaka menyebabkan aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia 2021 antara Melaka United FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC tergendala sebentar tadi.

Perlawanan yang sepatutnya bermula pukul 9 malam itu tidak dapat dimulakan seperti dijadualkan selepas seluruh stadium bergelap sejak 7.30 malam, Jumaat.

Berdasarkan kemaskini terkini, sepak mula hanya dilaporkan bermula kira-kira pukul 10 malam.

Berdasarkan hantaran di akaun media sosial Facebook rasmi Liga Bola Sepak Malaysia, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang melakukan kerja-kerja membaik-pulih bekalan elektrik.

"Setakat 9.30 malam, hanya dua lampu limpah berfungsi, dan perlawanan masih belum dapat dimulakan.

"Dianggarkan kira-kira 15,000 penonton hadir bagi menyaksikan perlawanan itu, dengan Melaka melangkah ke peringkat separuh akhir buat kali pertama sejak 1983," kongsinya.

Sebelum ini, kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Kuala Lumpur, pada Isnin.

Dalam pada itu, Johor Darul Takzim mengesahkan slot ke final Piala Malaysia 2021 menerusi agregat 4-1 apabila menewaskan Terengganu FC dengan kemenangan selesa 3-0 dalam satu lagi aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam tadi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

piala malaysia, melaka united, kl city, jdt, tfc,