'Satu syarat saja'


  • Podium
  • Khamis, 25 Nov 2021

MINAT Rangnick terhadap Man United amat dialu-alukan dan kelab itu harus mengambil peluang untuk menggunakan pengetahuannya dalam bola sepak untuk manfaat kelab. — Agensi

SELEPAS Ole Gunnar Solskjaer dipecat pada Ahad lalu berikutan kekalahan teruk kepada Watford, calon pengganti jawatan pengendali skuad Manchester United menjadi topik perbualan hangat.

Nama Ralf Rangnick antara yang disebut-sebut menyatakan minatnya untuk menjadi pengurus interim skuad The Red Devils itu.

The Times melaporkan, walaupun Rangnick berminat dengan jawatan sementara itu, dia tidak mahu ia berakhir di situ malah mahukan komitmen jangka panjang walaupun bukan sebagai pengurus.

"Rangnick sanggup meninggalkan peranannya sebagai Ketua Sukan dan Pembangunan di Lokomotiv Moscow, tetapi hanya jika dia diberi peranan penting di Man United selepas musim ini," lapor portal itu.

Rangnick sebelum ini bekerja sebagai pengarah sukan untuk kedua-dua buah kelab RB Leipzig dan Red Bull Salzburg.

Beliau juga bertanggungjawab untuk melaksanakan strategi pengambilan secara berfikiran ke hadapan, yang telah menjadikan kedua-dua kelab itu layak ke saingan Liga Juara-Juara.

Pada masa sama, beliau turut menjalankan peranan strategik serupa di Rusia dan nampak bersedia melepaskan tugas itu demi jawatan dalam Man United.

Man United dilaporkan telah mengambil John Murtough sebagai pengarah bola sepak pada bulan Januari lalu dan ini boleh menjadi penghalang kepada Rangnick untuk diberikan jawatan kanan selain pengurus sementara selepas musim panas akan datang.

Perkara ini memerlukan beberapa perancangan kreatif daripada pihak kelab Man United, untuk membangunkan peranan yang memberi ruang kepada kedua-dua pihak baik Murtough dan Rangnick untuk melakukan tugas mereka.

Minat Rangnick terhadap Man United adalah dialu-alukan, dan kelab itu harus mengambil peluang untuk menggunakan pengetahuannya dalam bola sepak untuk manfaat kelab.

Prospek Rangnick menyelia Mauricio Pochettino atau Erik Ten Hag pada musim panas akan datang adalah senario impian, hanya jika Man United berjaya merancang laluan untuk ke arah itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram