USAHA pencarian pengurus tetap Manchester United nampaknya terhenti seketika apabila pihak pengurusan kini menumpukan perhatian mencari pengurus sementara.
Menurut laporan The Guardian, Red Devils sudah menghubungi Ernesto Valverde bagi menjadi pengurus sementara bagi menggantikan tempat Ole Gunnar Solskjaer yang dipecat minggu lalu.
Pengurus berusia 57 tahun itu berpengalaman mengendalikan Barcelona pada Mei 2018 sehingga Januari 2020 dengan rekod dua juara La Liga dan satu juara Copa del Rey.
Kini Valverde tidak terikat dengan mana-mana kelab dan United mengambil peluang untuk mengikatnya secara sementara sebelum mencari pengurus tetap.
Difahamkan Valverde telah berbincang dengan pengarah sukan United, John Murtough untuk mengendalikan kelab itu secara sementara.
Buat masa ini, United dikemudi oleh Michael Carrick yang berjaya mencatat kemenangan pertama apabila kelab Manchester itu menewaskan Villareal 2-0 pada saingan Liga Juara-Juara pagi Rabu.
Kemenangan itu sekali gus melayakkan United ke pusingan kalah mati.
Dengan pelantikan Valverde, United kini berpeluang untuk mengembangkan bakat skuad yang sedia secara secara maksimum memandangkan pengurus kelahiran Sepanyol itu berpengalaman mengendalikan Lionel Messi dan beberapa pemain bintang di Barcelona. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram