LIONEL Messi percaya Liverpool merupakan antara pasukan yang bakal memenangi trofi Liga Juara-Juara musim ini.
Bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu mengakui bahawa musim ini The Reds kembali menunjukkan prestasi terbaik mereka di bawah kendalian Jurgen Klopp.
Liverpool nampaknya telah menemui rentak mereka musim ini apabila mengumpul 25 mata daripada 12 perlawanan liga pertama mereka dan meraih empat kemenangan berturut-turut dalam Liga Juara-Juara.
Menurut Messi, Liverpool menjadikan persaingan Liga Juara-Juara musim ini semakin sengit.
"Semua orang mengatakan bahawa kami adalah pilihan utama dan saya tidak akan menafikan bahawa Liverpool salah satu pasukan yang boleh menjadi saingan utama.
"Bagaimanapun, kami mempunyai kelebihan mempunyai pemain yang sangat hebat untuk mencapainya," katanya.
Tambahnya lagi, dia perlu menguatkan persefahaman sebagai satu pasukan dan ia akan menjadi kelebihan selain mempunyai pemain yang sangat hebat.
"Liga Juara-Juara adalah pertandingan yang sangat sukar, itu yang menjadikannya begitu indah dan istimewa.
"Pasukan terbaik ada di luar sana dan mereka semakin bagus. Ya, kami adalah salah satu pasukan kegemaran, tetapi bukan satu-satunya," katanya.
Messi yang kini menyasarkan kegemilangan dalam aksi Liga Juara-Juara bersama PSG selepas meninggalkan Barca pada musim panas, menjangkakan Liverpool akan terus memburu kemenangan untuk musim ini.
Ketibaan Messi ke PSG pada musim panas boleh dikatakan mengesahkan kelab Perancis itu sebagai pilihan untuk memenangi Liga Juara-Juara musim ini lantaran Mauricio Pochettino juga dilimpahi dengan pelbagai bakat penyerang bertaraf dunia.
Bersama-sama dengan Neymar dan Kylian Mbappe, legenda Barcelona itu telah membentuk barisan hadapan paling unggul dalam bola sepak dunia. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram