Ronaldo terduduk kecewa angkara penyerang 'kelas kedua'


  • Podium
  • Jumaat, 19 Nov 2021

RONALDO terduduk kecewa selepas Portugal tewas kepada Serbia dalam Kelayakan Piala Dunia 2022 pada Isnin lalu. — AFP

RAMAI menjangkakan Mohamed Salah, Harry Kane atau Cristiano Ronaldo akan tampil sebagai pemain paling tajam dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Jangkaan itu tidak salah tetapi ada seorang lagi penyerang yang memiliki sentuhan lebih tajam daripada mereka dan individu tersebut adalah Aleksandar Mitrovic.

Meskipun sekadar beraksi dalam Liga Kejuaraan bersama Fulham musim ini, potensi yang dimiliki Mitrovic sememangnya tidak harus dipertikai.

Baru-baru ini, Mitrovic membuktikan ketajamannya di peringkat antarabangsa. Penyerang Fulham itu menjadi wira Serbia ketika menentang Portugal pada perlawanan terakhir Kumpulan A Kelayakan Piala Dunia 2022 pada Isnin lalu.

Gol tandukannya pada minit ke-90 membolehkan pasukan jolokan White Eagles itu melayakkan diri ke Piala Dunia 2022.

Jaringan tersebut malahan membuatkan Ronaldo terduduk menangis di atas padang. Pada masa yang sama, Mitrovic dikerumuni oleh rakan-rakan sepasukannya.

Dua bulan lalu, Ronaldo meletakkan Portugal di landasan yang betul dalam kempen kelayakan Piala Dunia selepas menyumbat dua gol pada minit-minit terakhir perlawanan sewaktu menang 2-1 ke atas Ireland.

Ronaldo melakukan perkara yang sama dengan Manchester United dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) apabila menyumbat gol pada minit-minit terakhir ketika menentang Atalanta dan Villareal.

MITROVIC meraikan gol keduanya sewaktu menentang Portugal pada Isnin lalu. — AFP

Namun kali ini, minit ke-90 bukan milik Ronaldo tetapi Mitrovic. Terdapat segala kemungkinan bahawa dia akan mencapai rekod Piala Dunia kelima pada tahun depan tetapi laluannya ke Qatar perlu ditentukan melalui pusingan playoff.

Hampir setahun lalu, kegagalan Mitrovic menyempurnakan sepakan penalti dalam penentuan kelayakan Euro 2020 menentang Scotland, menyebabkan Serbia kehilangan tempat ke kejohanan tersebut.

Mitrovic juga kelihatan 'tidak bermaya' dan hanya menjaringkan tiga gol dalam saingan EPL pada musim lalu, menyebabkan Fulham tersingkir ke Liga Kejuaraan.

Namun buat kali kedua dalam tempoh tiga musim, potensi Mitrovic berjaya membawa Fulham ke tangga kedua liga musim ini. Bagaimanapun, pengkritik mengatakan Mitrovic hanya bagus di peringkat Liga Kejuaraan tetapi tidak cukup bagus untuk EPL.

Di peringkat antarabangsa, Mitrovic pada Mac lalu menjadi penjaring gol terbanyak sepanjang masa buat Serbia dengan 39 gol dalam 64 penampilan.

Dia bukan hanya berjaya menjaringkan lapan gol dalam sembilan penampilan untuk Serbia pada tahun ini tetapi juga mencetak 20 jaringan bersama Fulham setakat musim ini.

Di atas kertas, Lionel Messi belum menjaringkan sebarang gol bersama Paris Saint-Germain (PSG) di peringkat domestik, sementara Ronaldo baru menyumbat empat gol dalam liga manakala Kane pula hanya mencetak satu jaringan. Sejujurnya, prestasi Mitrovic pada musim ini adalah menakjubkan.

"Ini adalah persembahan terbaik sepanjang hidup saya. Saya berasa baik, saya berasa yakin.

"Dalam pasukan ini, di atas padang, saya tahu saya mempunyai banyak kualiti di sekeliling saya. Saya tahu jurulatih percayakan kebolehan saya dan percaya pada diri sendiri.

"Kami bermain permainan yang bagus. Kami menikmati permainan, apa salahnya menjadi yakin?," katanya selepas menjaringkan hatrik menentang West Brom pada Oktober.

Konsepnya mudah, Mitrovic menunjukkan bahawa melalui aturan yang betul buat kelab dan negaranya, dia sememangnya merupakan seorang penyerang yang berbisa.

Pada usia menginjak 27 tahun, tiada siapa boleh menyekat potensi Mitrovic dan mungkin satu hari nanti, siapa tahu bakatnya bakal diiktiraf oleh kelab-kelab besar Eropah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram