4 langkah penting kembalikan kegemilangan Man United


  • Podium
  • Selasa, 23 Nov 2021

MAN United terus mempamerkan aksi longlai sehingga membawa kepada pemecatan Solskjaer baru-baru ini. — Reuters

DI bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer selama hampir tiga tahun, Manchester United bermain 168 perlawanan dengan 91 kemenangan, 37 seri dan 40 kekalahan.

Jika berdasarkan statistik di atas, Solskjaer sebenarnya mempunyai peratusan kemenangan yang cukup baik iaitu 54.17 peratus berbanding dua jurulatih sebelum ini seperti David Moyes (52.94 peratus) dan Louis Van Gaal (52.94 peratus).

Namun kekalahan 1-4 kepada Watford pada Sabtu lalu membuatkan Solskjaer secara rasmi dipecat sehari selepas itu.

Pada awalnya, kehadiran jurulatih Norway itu Old Trafford menjadi antara harapan baharu peminat. Namun, hampir tiga tahun beliau gagal menghadiahkan sebarang trofi kejayaan kepada Man United.

Manakala sebaliknya pemecatan itu membuatkan Lembaga Pengarah (BOD) Man United resah kerana tidak menemukan jurulatih yang sesuai.

Keluarga Glazer yang memiliki kelab itu dan Naib Pengerusi Eksekutif, Ed Woodward sudah lama dituduh mengutamakan hal berkaitan komersial berbanding persembahan di atas padang.

Solskjaer hanyalah 'masalah kecil' yang berlaku di Man United. Memecat pengurus adalah lebih mudah berbanding menukar keseluruhan skuad atau pengarah baharu untuk urusan di luar padang.

Bagaimanapun, pemain dan BOD juga bertanggungjawab di atas kesulitan yang berlaku ketika ini.

Oleh itu, jika Man United ingin kembali ke puncak bola sepak England, terdapat empat perkara yang perlu mereka lakukan.

1. Lantik pengurus tetap

Sejak Sir Alex Ferguson bersara pada 2013, Man United melantik empat pengurus tetap selama hampir lapan musim.

Walaupun kitaran perubahan yang berterusan memberikan hasil menakjubkan untuk Chelsea namun pengurusan dan pemilihan pengurus The Blues adalah lebih baik berbanding apa dimiliki di Old Trafford.

Man United terperangkap di antara dua ideologi. Walaupun mereka tidak sekuat Chelsea dan PSG, Red Devils masih belum mampu mencontohi pembangunan bakat jangka panjang Liverpool serta Manchester City.

Momen ketika Ferguson dan Arsene Wenger menguruskan kelab selama beberapa dekad sudah lama berlalu. 'Jangka panjang' mempunyai makna yang berbeza dalam bola sepak masa kini.

Liverpool melantik Jurgen Klopp sejak 2015 manakala pep Guardiola tiba di Manchester City setahun kemudian. Laporan menunjukkan Man United sentiasa mahukan pengurus jangka panjang yang stabil.

Bagaimanapun, tindakan lembaga pengarah seperti memecat van Gaal sejurus kemenangan Piala FA pada 2016 dan enggan menyokong Mourinho dalam pasaran perpindahan selama beberapa tahun menunjukkan mereka melakukan kerja yang buruk.

Untuk itu, Man United bukan sahaja perlu memilih pengurus yang betul, malahan mereka juga perlu melakukan lebih banyak lagi untuk meletakkan kepercayaan penuh kepada pengurus terbabit.

Calon Manager AFP

ANTARA calon pengurus yang dikaitkan dengan Man United. — AFP

2. Melantik pengarah bola sepak

Pengarah bola sepak atau pengarah sukan bertanggungjawab untuk membuat keputusan penting di kelab seperti strategi perpindahan dan pelantikan pengurus.

Man City mengupah Txiki Begiristain, manakala Paris Saint-Germain (PSG) diketuai oleh Leonardo Araujo. Hasan Salihamidzic ialah pengarah sukan di Bayern Munich. Sementara itu, Michael Zorc memegang peranan berkenaan di Borussia Dortmund.

Kesemua mereka adalah bekas pemain profesional. Sementara itu, jurubank pelaburan dan pakar akaun, Woodward ialah pembuat keputusan penting di Man United.

Latar belakang dalam bola sepak bukanlah suatu kemestian. Contohnya Michael Edwards di Liverpool dan Marina Granovskaia di Chelsea sangat berjaya dengan cara mereka sendiri. Namun, Man United dikendalikan oleh orang yang lebih mengenali hal kewangan berbanding bola sepak.

Edwin van der Sar, yang menjalankan tugas cemerlang sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ajax, disebut-sebut sebagai calon berpotensi untuk Man United.

Bagaimanapun, ia hanya khabar angin kerana Richard Arnold, seorang akauntan England, dijangka mengambil alih daripada Woodward apabila beliau meletakkan jawatan pada akhir tahun ini.

Woodward AFP

WOODWARD bakal meletakkan jawatan pada akhir tahun ini. — AFP

3. Man United memerlukan pemilik baharu

The Glazers, sebuah perniagaan keluarga Amerika Syarikat (AS), menjadi pemilik utama Man United sejak 2005. Mendiang Malcolm Glazer dan anak lelakinya, Joel dan Avram, adalah figura yang terlibat sebagai pemilik Red Devils.

Tanpa mendalami selok-belok kewangan, penjelasan paling mudah ialah Man United tidak lebih daripada lubuk duit buat keluarga Glazer. Kelab tersebut yang ketika itu bebas hutang, diambil alih oleh keluarga Glazer dengan bantuan pinjaman besar-besaran. Mereka kemudian melihat hutang kelab meningkat dengan ketara selepas sedekad kemudian.

Keluarga Glazer terus dibenci dan tidak popular dalam kalangan peminat Man United. Walaupun beban hutang adalah isu utama, penyokong kelab juga menyalahkan keluarga Glazer kerana tidak banyak terlibat dalam urusan kelab.

Satu lagi faktor yang menimbulkan kemarahan para penyokong adalah keluarga Glazer kelihatan berpuas hati dengan kegagalan Man United di atas padang selagi kelab itu berjaya secara komersial.

Glazer AFP

JOEL (kanan) dan Avram Glazer dibenci oleh para penyokong Man United. — AFP

4. Mengguna pakai strategi perpindahan yang jelas

Sepanjang tempoh Solskjaer di Man United, kelab itu nampaknya mempunyai polisi perpindahan yang jelas. Man United memilih untuk memberi tumpuan kepada pemain muda di bawah kendalian Solskjaer.

Kelab itu menandatangani Jadon Sancho selepas menyasarkannya selama lebih setahun sebagai penyelesaian kepada masalah sayap kanan mereka. Bagaimanapun, Mason Greenwood bermain di bahagian kanan tahun ini, manakala Sancho telah disisihkan di bangku simpanan.

Kelab itu juga menandatangani Edinson Cavani pada penghujung jendela perpindahan tahun lalu, sehingga kepulangan mengejut Cristiano Ronaldo pada musim panas lalu.

Tidak dinafikan Ronaldo adalah pemain yang bagus, tetapi ia menunjukkan bahawa Man United masih cenderung panik dalam pasaran perpindahan, terlepas sasaran dan kemudian berbelanja besar dalam keadaan terdesak.

Itu dibuktikan apabila Man United mengeluarkan wang yang banyak untuk Harry Maguire dan Aaron Wan-Bissaka, membelanjakan 130 juta pounds (RM731.3 juta) untuk dua pemain yang akhirnya menunjukkan aksi longlai.

Bukan rahsia lagi bahawa Man United sangat memerlukan pemain tengah bertahan. Ruben Neves dikaitkan dengan kelab itu selama berbulan-bulan awal tahun ini, tetapi tiada perjanjian dicapai.

Merumuskan strategi perpindahan adalah satu perkara penting, tetapi melaksanakannya dengan yakin adalah perkara lain. Man United mengambil langkah pertama, tetapi bukan dilakukan dengan keyakinan sebenar.

CR7 AFP

PERPINDAHAN mengejut Ronaldo ke Man United pada musim ini menimbulkan polemik pelbagai pihak. — AFP

Sekiranya Man United dapat mengubah keempat-empat perkara terbabit, tidak mustahil kelab itu akan dapat mengembalikan semula zaman kegemilangannya. Ketika artikel ini ditulis, Man United masih bergelut untuk mencari pengganti Solskjaer.

Mungkinkah pengurus itu akan membawa perubahan kepada prestasi longlai Man United ketika ini atau tidak? Bagi para peminat Man United, itulah harapan mereka pada musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram