Gerrard bawa lima bekas jurulatih Liverpool ke Villa Park


  • Podium
  • Ahad, 14 Nov 2021

GERRARD dilantik sebagai pengurus Aston Villa menggantikan Dean Smith yang dipecat 7 November lalu. — Aston Villa

ASTON Villa pada Khamis secara rasminya mengumumkan pelantikan legenda Liverpool, Steven Gerrard sebagai pengurusnya menggantikan Dean Smith yang dipecat 7 November lalu.

Gerrard meninggalkan penyandang juara Scotland, Glasgow Rangers selepas tiga tahun setengah membimbing kelab itu dan merangkul kejuaraan liga pertama mereka dalam tempoh 10 tahun musim lalu, serta mengharungi kempen liga tanpa kalah pertama kelab itu.

Villa pada Sabtu turut mengesahkan nama-nama yang bakal bersama Gerrard sebagai staf kejurulatihan, termasuk lima bekas jurulatih Liverpool iaitu Gary McAllister, Michael Beale, Tom Culshaw, Scott Mason dan juga Jordan Milsom.

Gary McAllister, yang merupakan pembantu Gerrard di Rangers, akan mengambil peranan yang sama di Villa Park.

Selain pernah membantu Liverpool memenangi treble Piala Liga, Piala FA dan Piala UEFA pada tahun 2001, McAllister juga pernah berkhidmat sebagai jurulatih di bawah Brendan Rodgers ketika dia menjadi bos The Reds.

Michael Beale, yang pernah menjadi jurulatih akademi di Liverpool juga akan memegang jawatan sebagai penolong ketua jurulatih, sama seperti McAllister.

Sementara itu, Tom Culshaw akan berkhidmat sebagai jurulatih teknikal di Villa. Dia sebelum ini pernah bekerja sebagai pembantu Gerrard ketika dia menjadi jurulatih skuad bawah 18 tahun Liverpool.

Scott Mason pula dinamakan sebagai ketua penganalisis kelab, manakala Jordan Milsom dilantik sebagai ketua kecergasan yang baharu.

Gerrard tidak perlu menunggu lama untuk pertemuan semula dengan Liverpool, dengan Villa akan bertandang ke Anfield untuk aksi Liga Perdana Inggeris pada 11 Disember depan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

gerrard, liverpool, jurulatih, aston villa