PEMAIN badminton perseorangan lelaki terbaik negara, Lee Zii Jia sudah bersedia untuk beraksi dalam Terbuka Indonesia 2021 yang dijadualkan berlangsung dari 23 hingga 28 November di Bali, Indonesia.
Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann yang mengesahkan perkara itu berkata, pemain berumur 23 tahun itu semakin pulih daripada kecederaan belakang yang dialaminya dalam kejohanan Indonesian Masters 2021 sebelum ini.
"Zii Jia akan bermain (Terbuka Indonesia) dia tidak lagi rasa sakit sejak beberapa hari lepas,” katanya.
Ditanya mengenai sasaran pemain ranking ketujuh dunia itu, Choong Hann berkata, beliau hanya mahukan supaya juara All England 2021 itu melakukan yang terbaik di gelanggang Bali International Convention Centre, Nusa Dua nanti.
Katanya, apa yang lebih penting adalah Zii Jia tidak mengalami sebarang kecederaan, bagi membolehkan beliau membuat persiapan untuk bertanding dalam Kejohanan Dunia BWF 2021 di Huelva, Sepanyol 12-19 Dis.
Penyertaan Zii Jia dalam Terbuka Indonesia sebelum ini menjadi tanda tanya apabila pemain dari Kedah itu menarik diri dalam perlawanan pusingan pembukaan Indonesian Masters 2021 Isnin lepas disebabkan masalah sakit belakang, semasa berentap dengan pemain dari Denmark Rasmus Gemke.
Sehubungan itu jurulatih Zii Jia, Hendrawan berkata, beliau telah memberikan cuti seminggu kepada Zii Jia untuk pulih, dan beliau akan memantau keadaan pemain itu dari semasa ke semasa sebelum memberi kebenaran kepadanya untuk menyertai Terbuka Indonesia.
Zii Jia sebelum ini juga pernah menarik diri semasa menentang pemain Singapura, Loh Kean Yew dalam final Terbuka Hylo di Jerman pada 7 Nov lepas, yang berakhir dengan keputusan 21-19, 13-21 and 12-17.
Zii Jia akan berpeluang untuk berhadapan dengan pemain bukan pilihan, Rasmus sekali lagi nanti apabila kedua-dua pemain itu dijadual bertembung dalam pusingan pertama Terbuka Indonesia. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram