PH terima 'katak' didakwa punca pengundi neutral pilih BN


  • Massa
  • Isnin, 22 Nov 2021

BARISAN Nasional meraikan kemenangan mudah di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Sabtu lalu. — Bernama

JUMLAH yang membuang undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Sabtu lalu jelas menunjukkan rakyat sudah letih untuk memilih.

Tidak sampai 70 peratus turun mengundi dan akhirnya apa yang dikhuatiri Pakatan Harapan (PH) menjadi nyata apabila Barisan Nasional (BN) menjadi pilihan.

Namun, bagi aktivitis belia, Rahman Imuda, kemenangan BN hanyalah disebabkan rakyat mahu memilih sebuah koalisi politik yang stabil dan boleh memimpin negeri untuk sepenggal.

"Memanglah BN ada isu-isu hangat yang terpalit dengan pemimpin mereka. Kes mahkamah, salahguna kuasa, rasuah dan lain-lain.

"Ramai rakyat berpandangan telah menghukum BN pada PRU14, dan memberi peluang kepada PH untuk memerintah.

"Malangnya, peluang itu hilang sia-sia. Imej PH yang tidak stabil di samping penerimaan katak-katak telah membuat pengundi neutral lebih memilih BN," katanya dalam hantaran di Facebook.

Menurut Rahman, BN juga telah membuat penjenamaan semula dengan menampilkan muka-muka baharu bagi PRN kali ini.

"Sekiranya Pakatan Harapan tidak datang dengan ‘master plan’ yang dituruti oleh semua parti, maka PH tidak akan mampu bersaing dengan BN menjelang PRU15.

"Kerja utama yang mereka perlu lakukan adalah pembersihan imej 22 bulan di Putrajaya.

"Sehingga hari ini, ada banyak persoalan yang perlu diterangkan kepada rakyat. Jika mereka terus sombong, rakyat akan semakin menjauh," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram