JDT, Kedah, Selangor dominasi skuad Piala AFF 2020


  • Podium
  • Rabu, 17 Nov 2021

TAN Cheng Hoe menggalas misi untuk memulihkan reputasi Harimau Malaya.

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Rabu mengumumkan senarai 28 pemain yang akan menjalani latihan pusat bagi menghadapi saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura pada bulan depan.

Saingan peringkat Asia Tenggara itu akan bermula pada 5 Disember 2021 hingga 1 Januari 2022 dan sesi latihan di bawah kendalian ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe akan bermula Isnin, 22 November 2021.

Pemain Johor Darul Takzim (JDT) mendominasi pilihan Cheng Hoe kali ini dengan melibatkan tujuh pemain disusuli masing-masing empat pemain daripada Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Selangor FC.

Kuala Lumpur FC, Petaling Jaya FC dan Terengganu FC juga mempunyai masing-masing dua wakil daripada setiap pasukan.

Berikut adalah senarai penuh skuad Harimau Malaya untuk mengharungi saingan Piala Suzuki AFF 2020:

AFF 2020 Squad-01-2

Menurut FAM, hanya pemain yang pasukannya sudah terkeluar daripada saingan TM Piala Malaysia 2021, sama ada peringkat kumpulan dan suku akhir akan melapor diri di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Isnin, 22 November 2021.

Ia kemudian bakal disusuli pemain yang pasukannya tersingkir pada peringkat separuh akhir TM Piala Malaysia 2021 untuk melapor diri pada Ahad, 28 November 2021.

Seterusnya, pemain yang pasukannya layak ke Final TM Piala Malaysia 2021 pada Selasa, 30 November 2021 akan melapor diri pada Rabu, 1 Disember 2021.

Bagi pemain-pemain yang berpangkalan di luar negara, mereka akan melapor diri mengikut tarikh pelepasan yang diberikan oleh kelab masing-masing.

Cheng Hoe hanya akan menyenaraikan seramai 24 pemain untuk skuad akhir ke Piala Suzuki AFF 2020 yang mana skuad Harimau Malaya dijadual berlepas ke Singapura pada Jumaat, 3 Disember 2021.

Berikut jadual perlawanan Kumpulan B yang bakal dihadapi skuad Harimau Malaya:

Isnin, 6 Disember 2021

KEMBOJA lwn MALAYSIA di Stadium Bishan, Singapura, 5.30 petang.

Khamis, 9 Disember 2021

MALAYSIA lwn LAOS di Stadium Bishan, Singapura, 5.30 petang.

Ahad, 12 Disember 2021

VIETNAM lwn MALAYSIA di Stadium Bishan, Singapura, 8.30 malam.

Ahad, 19 Disember 2021

MALAYSIA lwn INDONESIA di Stadium Nasional, Singapura, 8.30 malam.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram