KUALA Lumpur City FC (KL City) membawa bekalan selesa ke pusingan kedua peringkat suku akhir Piala Malaysia apabila selesa membenam Selangor FC dengan kemenangan 2-0 pada Ahad.
Gol-gol KL City disumbangkan oleh Romel Morales pada minit ke-14 dan Muhammad Hadin Azman pada minit ke-82.
Di Stadium Darul Aman, Kedah, pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) gagal merebut kelebihan bermain di tempat sendiri apabila sekadar seri 0-0 menentang Johor Darul Ta'zim (JDT).
Sementara itu, di Terengganu, pasukan tuan rumah, Terengganu FC (TFC) berjaya menewaskan Sarawak United 2-1.
TFC terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-17 menerusi Faisal Abdul Halim sebelum pemain tengah pasukan itu, Shahrulnizam Mustapa menjaringkan gol sendiri buat pasukan pelawat.
Memasuki babak kedua, TFC menggandakan asakan dan berjaya mendahului hasil rembatan Faiz Nasir pada minit ke-50.
Di Stadium Likas, Sabah, Melaka United membawa pulang bekalan selesa ke Melaka selepas menundukkan Sabah FC 1-0 hasil jaringan penyerang import, Sony Norde pada minit ke-52.
Pusingan kedua suku akhir Piala Malaysia akan berlangsung pada 18 November. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram