Bengang dengan Solskjaer, Lingard pilih kelab London


  • Podium
  • Sabtu, 20 Nov 2021

SEJAK kembali ke United, Lingard hanya beraksi selama 154 minit di atas padang, dengan 72 minit daripadanya adalah dalam aksi Piala EFL ketika Solskjaer melakukan penggiliran skuad. — Reuters

PEMAIN sayap Manchester United, Jesse Lingard dilaporkan sudah bersiap sedia untuk menyertai kelab London dengan yuran perpindahan sekitar £10 juta (RM56.1 juta).

Menurut laporan media, pemain antarabangsa England itu menolak tawaran kontrak baharu selepas tidak berpuas hati dengan layanan yang diterima di Old Trafford sejak kembali pada awal musim.

Pemain berusia 29 tahun itu mempamerkan aksi memberangsangkan ketika dipinjamkan ke West Ham United pada awal tahun ini, dengan sembilan gol dan lima bantuan golnya berjaya membantu The Hammers beraksi di Eropah pada musim ini.

Pengurus West Ham, David Moyes juga berhasrat untuk menandatanganinya secara tetap pada penghujung musim lalu, namun ditolak atas alasan masih berada dalam perancangan pengedali The Red Devils, Ole Gunnar Solskjaer.

Namun, sejak kembali ke United, Lingard hanya beraksi selama 154 minit di atas padang, dengan 72 minit daripadanya adalah dalam aksi Piala EFL ketika Solskjaer melakukan penggiliran skuad.

Perkara itu membuatkan dia berasa kecewa dan membuat keputusan untuk tidak menyambung kontraknya yang bakal tamat pada penghujung musim.

Lingard juga dilaporkan bengang dengan beberapa keputusan Solskjaer dan kelab sepanjang empat bulan dia kembali di Old Trafford.

Pertama, dia difahamkan kecewa kerana disisihkan dalam dua perlawanan pembukaan musim ini apabila Solskjaer memilih untuk menurunkan Daniel James berbanding dirinya.

James kemudian berpindah ke Leeds United sebelum jendela perpindahan musim panas ditutup.

Tambahan pula, tawaran kontrak yang dibentangkan kepadanya dilaporkan lebih rendah daripada gaji yang diterima sekarang membuatkannya berasa 'bingung' dengan cara United berbincang mengenai kontrak baharu.

Lingard juga bimbang kekurangan masa bermain bakal menjejaskan peluangnya untuk menembusi skuad Piala Dunia England pada tahun hadapan.

Walaupun kerap membantu pasukan ketika diturunkan, Lingard terus disisihkan oleh Solskjaer.

Dia masuk dari bangku simpanan dan menjaringkan gol dalam kemenangan 4-1 ke atas Newcastle.

Dia membantu pasukan mendapatkan kemenangan di London Stadium apabila menjaringkan gol di lewat permainan dalam aksi Liga Perdana Inggeris.

Selain itu, Lingard juga menghasilkan bantuan gol kepada Cristiano Ronaldo pada saat-saat akhir perlawanan menentang Villarreal yang menyaksikan United menang 2-1 September lalu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram